Bermula enam, kini 200 arnab sejak PKP 1.0

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Penternakan arnab oleh syarikat Sinar Bumitech Sdn Bhd telah mendapat perhatian ADUN Beserah, Andansura Rabu yang berkunjung ke Seberang Balok, Kuantan, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau kagum usaha empat sahabat iaitu Mohd Amir Ishak, Jamelluddin Mahadi, Ramli A Rahman dan Mohd Razi Abdul Rahman yang berusaha meneruskan kehidupan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu.

“Mereka berempat bermula dari ‘kosong’, dengan bermodalkan hanya enam ekor arnab, kini mereka telah berjaya menternak sebanyak 200 ekor dan sedang berusaha untuk menambahkan bilangannya lagi.

“Tanpa pengetahuan mahupun pengalaman, mereka sanggup ‘berguru’ dengan pihak-pihak penternak yang berpengalaman untuk memberi mereka tunjuk ajar.

“Mereka juga ada menyertai kursus asas yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengetahui teknik menternak dengan lebih baik.

“Binaan sangkar, premis, kawalan sisa, pengurusan kos, pelan pengembangan, semuanya diambil kira dalam perusahaan mereka,” ujar beliau yang juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang memuji semangat dan usaha dilakukan empat penternak itu.

Namun menurut Andansura, buat masa ini mereka hanya mampu untuk menerima tempahan secara kecilan kerana arnab mengambil masa dalam tempoh tiga bulan untuk mencapai berat sebanyak dua kilogram sebelum dijual.

Oleh itu katanya, mereka juga berdepan risiko kematian arnab yang mungkin menjejaskan pendapatan, lantaran itu mengharapkan agar JPV membantu memberi khidmat nasihat kepada dari segi penjagaan kesihatan supaya arnab mereka dapat dipelihara dengan lebih baik.

Andansura turut memberi komitmen akan membantu bagi mendapatkan kelulusan tapak untuk kemudahan asas tempat tersebut, memandangkan tapak itu adalah di atas Tanah Rizab Kerajaan (TOL) Pejabat Tanah Daerah Kuantan.

“Kita berusaha untuk membantu mereka apa saja yang kita mampu untuk mengembali dan memulihkan kehidupan dan ekonomi rakyat di musim PKP ini.

“Kita sangat berbangga dengan usaha yang dibuat oleh indidu ini kerana mereka yang dalam PKP ada yang tidak dapat bekerja kerana banyak aktiviti yang terpaksa diberhentikan,” tambah Andansura.

Beliau seterusnya mengharapkan agar perusahaan mereka dapat berkembang maju dan dapat membawa pulangan yang baik serta boleh memberikan sedikit sumbangan kepada ekonomi setempat.

Sementara itu salah seorang pengusaha Ramli A. Rahman berkata, bangunan yang sedia ada, boleh menternak sebanyak 1,000 arnab, namun setakat ini belum mampu dan mengharapkan jasa baik kepada sesiapa yang boleh memberi dorongan galakan agar perniagaan terus berjaya di masa akan datang. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -