Cadang rumah khas anak yatim mangsa COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ameerah selaku entiti Muslimat Muda PAS disaran merangka suatu inovasi program kebajikan seperti mewujudkan Rumah Ameerah Prihatin khusus buat anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.

- Advertisement -

Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr. Rosni Adam berkata, projek pintar seperti ini penting sebagai sebuah program kelestarian kebajikan yang bukan bersifat ‘touch and go’ tetapi lebih bertemakan ‘touch and hold’.

‘Hold’ yang dimaksudkan di sini adalah segala usaha yang membawa sasaran penerima kebajikan itu ke arah jati diri Muslim yang lebih baik,” katanya melalui ucapan dalam Liqa’ Ameerah Se-Malaysia yang berlangsung pada malam kelmarin.

Tambah beliau lagi, kaedah ‘hold’ itu juga boleh diterjemahkan dengan menjadi pemudah cara bagi isu berkait kemiskinan dan kesusahan seperti bantuan kerajaan dalam isu perceraian dan kesihatan mental.

Menurutnya, maklumat-maklumat penting seperti Talian Sejahtera yang telah diwujudkan Dewan Muslimat PAS dan Talian Nur oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat perlu digunakan semaksimum mungkin bagi membantu golongan ini.

“Idea ini sebenarnya selaras dengan tema dan prinsip Negara Berkebajikan yang diterjemahkan melalui dokumentasi WINS 2051.

“Selain menaik taraf golongan miskin dan pengurangan kos hidup, pembangunan sosial dan ekonomi daripada setiap peringkat juga menjadi salah satu prinsip utama dalam WINS 2051,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat turut menekankan mengenai fiqh kebajikan yang perlu dijaga dalam setiap misi bantuan.

Kebajikan itu tegas beliau, hendaklah tidak memudaratkan pihak lain sehingga memburukkan institusi kebajikan setempat di samping membawa roh Islam dalam setiap pendekatan.

Beliau juga menggesa semua Muslimat untuk berhempas pulas dalam misi bantuan kerana kebajikan merupakan wadah terbaik penyebaran dakwah yang lebih jauh kepada mad’u.

“Bersinergilah dengan pelbagai pihak dan badan NGO dalam program kebajikan dengan satu matlamat mengizzahkan identiti Islam, Muslimat dan PAS itu sendiri,” serunya. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -