Risiko dedah kuasa asing jadi pencatur di negara kita

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tentunya mengejutkan apabila terdapat dakwaan pembangkang di negara kita mendapat pembiayaan daripada dana asing bagi meneruskan kelangsungan politik mereka.

Biarpun isu itu sudah lama kedengaran, namun pendedahan di peringkat perisikan tentera dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menghangatkan semula isu tersebut.

Baru-baru ini bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Dato’ Mohd Salleh Ismail dilapor mendedahkan ada pemimpin politik Malaysia menerima bantuan dan sokongan moral dari luar negara.

- Advertisement -

Ia membabitkan individu dan pertubuhan terutamanya di Amerika Syarikat bagi membolehkan pemimpin politik terbabit meneruskan karier mereka.

Isu itu kemudian dihangatkan semula Penasihat SUARAM Dr Kua Kia Soong yang mendesak Pakatan Harapan (PH) menjelaskan hubungan mereka dengan National Endowment for Democracy (NED).

Seperti dilapor portal berita, Dr Kua mendakwa dana kepada blok pembangkang berlaku sejak sedekad lalu.

Menurut laporan itu hubungan antara PH dengan NED didedahkan Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel Twining, tiga tahun lalu.

Ketua Penerangan Assabiqun Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, pendedahan itu agak mengejutkan kerana pembangkang sebelum ini dilihat mampu menguasai pentas politik dengan menguasai media sosial.

Begitu juga katanya pendedahan DAP mempunyai ramai tentera siber (red bean army – RBA) dibayar begitu lumayan setiap bulan.

Malah Pemuda Umno Johor Bahru sebelum ini mendakwa RBA dibayar antara RM3,000 hingga 7,000 sebulan.

Pendedahan pada 2018 itu mendakwa RBA DAP bergerak ke blog-blog dan media sosial menggunakan nama orang Melayu bagi mengelirukan orang ramai.

Menurut pemuda Umno terbabit strategi itu supaya dilihat sentimen orang Melayu lawan Melayu dan orang Islam lawan Islam.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir pula mendesak PH memberi penjelasan kenyataan yang mendakwa pembangkang mendapat bantuan agen asing terutama Amerika Syarikat.

“Amat malang rakyat negara ini bermati-matian mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, namun ada kumpulan lain sanggup bersekongkol dengan pihak asing untuk mendapatkan kuasa politik,” katanya pada perkongsian di laman shahalamku.com.

Pensyarah kanan Sains Politik UiTM Raub Dr Che Hamdan Mohd Razali berkata, sebelum ini bekas perdana menteri Dato’ Seri Najib Razak pernah memberitahu beliau mendapat dana dari Arab Saudi.

“Ia menjadi satu isu yang besar kerana menjadi persoalan tentang ketelusan dari segi tadbir urus. Malah kebanyakan tajaan dana luar kepada NGO,” katanya.

Menurutnya risiko besar akan berlaku apabila pengaruh kuasa asing menjadikan konflik dalaman negara sebagai peluang untuk mereka menjadi pencatur.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan Ahmad Fathan Mahmood berkata, membuka ruang kepada usaha campur tangan asing dalam menentukan masa depan politik negara boleh mengganggu gugat kedaulatan Malaysia.

Katanya, pihak asing pastinya menggunakan pendekatan halus dan terancang dalam membantu golongan politik berfahaman liberal barat.

“Ancaman tersebut sangat bahaya kepada kestabilan politik negara. Perlu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya yang juga Adun Chempaka. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -