Mesyuarat pertama Kabinet bincang status terkini Covid-19

Foto daripada Facebook Ismail Sabri Yaakob.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama menerusi sidang video dari rumah pagi tadi.

Katanya, ini susulan setelah beliau dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine).

- Advertisement -

“Antara penekanan utama, membincangkan status terkini jangkitan Covid-19 di negara kita untuk semua kementerian bergerak proaktif bagi pengukuhan tindakan tahap kesihatan demi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat utama kepada rakyat,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut mengingatkan para menteri Kabinet, setiap kementerian perlu buktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari.

Maka, ujarnya tindakan pantas dan bersepadu merupakan aspek utama bagi membebaskan Malaysia daripada ancaman wabak penyakit, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik yang telah dilalui oleh rakyat sebelum ini.

“Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan dan saya akan memastikan Kabinet ini berasaskan keberhasilan yang mengutamakan kestabilan dan keselamatan Keluarga Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -