Perdana Menteri realisasi budaya politik matang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap merealisasikan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang sudah lama dirintis PAS.

Ketua Penerangan Assabiqun Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, situasi itu terbukti apabila perdana menteri sanggup berjumpa dengan pemimpin pembangkang bagi meredakan konflik politik.

- Advertisement -

Katanya, langkah itu hampir sama dengan usaha yang dilakukan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila sanggup berjumpa dengan pemimpin kanan DAP dengan berkunjung ke rumah mereka.

“Ini tindakan yang matang yang menggambarkan perdana menteri seorang pemimpin berjiwa besar kerana sanggup mengadakan pertemuan dengan musuh politik.

Zainuddin Awang Hamat
Drs Zainuddin Awang Hamat

“Biarpun pembangkang turut mengecam saf kabinet yang diumum Jumaat lepas, namun perdana menteri merealisasi usaha yang sudah lama dirintis PAS dengan idea kerajaan perpaduan,” katanya di sini.

Pada Rabu lepas pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan perdana menteri di Putrajaya bagi memberi tumpuan agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan menangani krisis Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan rakyat.

Pertemuan itu dihadiri Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PH juga dalam kenyataan bersama susulan pertemuan itu memberitahu mencapai persetujuan bersama memperkasa Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Drs Zainuddin yang juga bekas Adun Limbongan berkata, tindak tanduk perdana menteri bersikap terbuka memperlihatkan ciri-ciri yang dimiliki warga Kelantan.

“Biarpun Ismail Sabri dilahirkan di Temerloh namun kedua ibu bapanya berasal dari Kelantan. Semangat kekelantanan masih lagi mengalir pada diri perdana menteri,” ujarnya.

Menurutnya usaha dirintis pemimpin PAS sebelum ini termasuk Ustaz Fadzil Mohd Noor bagi melihat budaya politik matang, sekarang mulai diterjemahkan kerajaan Malaysia. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -