Konsep ‘Keluarga Malaysia’ berteraskan Perlembagaan Persekutuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyokong penuh konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, ini kerana ia bertepatan dengan konsep persaudaraan dalam Islam.

Tambah beliau, konsep ‘Keluarga Malaysia’ hendaklah menjunjung nilai integriti.

- Advertisement -

“Usaha bersatu padu umpama satu keluarga amat diperlukan untuk membentuk negara yang stabil berteraskan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mampu keluar daripada krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang melanda pada fasa pandemik Covid-19 ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, PAS menegaskan bahawa kestabilan negara dan kebersamaan tindakan adalah amat penting.

“Maka, suasana kemelut politik yang merugikan rakyat dan negara mesti dihentikan segera,” ujarnya lagi.

Oleh itu, tambah beliau PAS menyambut baik keterbukaan kerajaan melibatkan pemimpin pembangkang bagi menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 agar bersama-sama melawan wabak sehingga berjaya.

Dalam pada itu, ujarnya PAS berharap program-program kebajikan rakyat dan pakej-pakej rangsangan ekonomi diteruskan kerana rakyat masih terkesan dengan keadaan ekonomi dalam suasana mencabar akibat Covid-19.

Semalam, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dalam mendepani cabaran yang dihadapi seluruh negara ketika ini.

Menurutnya, pendekatan itu diambil oleh kerana sifatnya yang lebih inklusif dari aspek merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2021