Tragedi di Yan dapat simpati perdana menteri

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Tragedi yang dianggap paling buruk berlaku dalam sejarah di Kedah dengan fenomena kepala air petang Rabu lepas mendapat perhatian Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selepas memasuki pejabatnya di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri memilih Yan sebagai lokasi pertama bagi melihatkan sendiri tragedi yang meragut lima nyawa.

Kejadian yang berlaku 18 Ogos lalu meragut lima nyawa, di mana seorang daripada mereka belum dijumpai.

- Advertisement -

Menurut laporan media mangsa yang ditemui maut sebelum ini iaitu Ahmad Din, 68, ditemui di Kampung Setoi. Mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8 Gunung Jerai pada jam 11 malam hari kejadian.

Mangsa ketiga yang ditemui di Kampung Titi Hayun iaitu Zainol Morad, 66, mangsa keempat ditemui di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, dilaporkan terjatuh.

Sehingga sekarang lima mangsa ditemui. Anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini menumpukan usaha mencari mangsa terakhir di kawasan Titi Hayun.

Perdana Menteri dibawa melawat beberapa lokasi yang terjejas akibat banjir lumpur di Merbok termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Tupah.

Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada beberapa penduduk yang terjejas akibat banjir kilat tersebut di Masjid Badlishah, Titi Hayun.

Perdana Menteri turut mendengar taklimat berkenaan kejadian banjir akibat tragedi kepala air Gunung Jerai di Bilik Gerakan, Titi Hayun, Yan.

Rombongan perdana menteri dijadualkan singgah ke Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon Alor Setar sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

Lawatan perdana menteri itu diiringi Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Sebelum itu Ismail Sabri dan rombongan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar kira-kira jam 11.45 pagi. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -