Kelantan sedia beli bekalan vaksin Covid-19

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merancang untuk membeli vaksin sekiranya bekalan tersebut semakin berkurangan dengan mengambil kira peningkatkan kes harian positif Covid-19 sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membeli bekalan vaksin dalam masa terdekat.

Katanya, bekalan vaksin di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) diterajui bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (Mosti).

- Advertisement -

“Kita tidak teragak-agak untuk membeli vaksin, kita sedang buat pengiraan, maknanya kalau vaksin itu tidak sampai ikut perancangan kita, jadi kerajaan negeri terpaksa top-up (tambah).

“Tetapi kita perlu mendapat maklumat mengenai bekalan vaksin dari pihak Kementerian Kesihatan dan Mosti, jadi kita tengok keadaan dahulu, tetapi kita sudah bersedia untuk membeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Menurut Dr Izani, kerajaan negeri mengumumkan komitmen untuk melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 kepada 80 peratus penduduknya sekaligus imuniti kelompok tercapai pada Oktober depan.

Katanya, hasrat itu sudah menjadi perancangan kerajaan negeri dalam Pelan Pemulihan negara (PPN), namun ia bergantung bekalan vaksin semasa selepas pelaksanaan secara besar-besar di Lembah Klang.

“Cuma saya sangat berharap apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang selesai, maka vaksin itu akan dihantar dengan jumlah yang lebih banyak kepada Kelantan.

“Insya-Allah kita harap kita mampu selesaikan program ini pada akhir September,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -