Sultan sukacita usaha kerajaan tingkat ekonomi negeri

Tok Bali.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V melahirkan rasa sukacita di atas usaha kerajaan negeri meningkatkan skala ekonomi negeri.

Baginda bertitah kerajaan negeri menggerakkan aktiviti ke arah mewujudkan perbandaran dan wilayah berdaya saing seperti Pembangunan Kawasan Tok Bali, Bandar Baru Tunjong, Perkampungan Warisan, Agrodesa dan Tanah Tinggi Lojing.

- Advertisement -

“Beta berharap pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Pembangunan Tok Bali dapat memastikan agenda untuk menjadikan Pelabuhan Tok Bali sebagai pelabuhan komersil.

“Diharap ia dapat direalisasikan dan menjadi katalis kepada pembangunan Kelantan,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Teks titah baginda dibaca Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Menurut baginda juga kerajaan negeri sedang giat membangunkan Bandar Baru Tunjong berdasarkan Rancangan Khas Bandar Baru Tunjong 2035.

Bandar baru terbabit akan mengandungi komponen pembangunan seperti Madinah Al-Salam, Madinah Ramadan dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

Ia selaras dengan pembinaan Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kota Bharu di Tunjong yang menjadi terminal terakhir laluan rel tersebut di Pantai Timur.

Baginda juga bertitah pembinaan Jambatan Palekbang bukan sahaja menjadi jambatan penghubung antara Kota Bharu dan Tumpat, malah perlu mempunyai reka bentuk yang ikonik.

“Ia menjadi mercu tanda kepada Kelantan yang dapat menjadi daya tarikan menggamit pelancong.

“Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, beta berharap dapat disiapkan seperti yang dijadualkan pada 2024,” titah baginda.

Begitu juga projek infrastruktur lain termasuk ECRL, ‘Central Spine Road’ (CSR), Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai, Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Golok Fasa Satu dapat diteruskan.

Menurut baginda kemudahan infrastruktur yang baik dan sempurna akan menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah negeri dan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!