Tiada kesan aktiviti pembalakan di Gunung Jerai

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Tinjauan udara di sekitar Gunung Jerai mendapati tidak menemui sebarang tanah lapang akibat aktiviti pembalakan seperti didakwa sesetengah pihak yang menjadi punca tragedi banjir di Yan petang Rabu lepas.

Tragedi kepala air yang melanda kawasan persekitaran kaki Gunung Jerai berpunca air terkumpul akibat hujan lebat berterusan beberapa hari.

Malah ia diakui Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang pada satu kenyataan petang semalam.

- Advertisement -

Menurutnya kejadian arus kepala air itu dikenal pasti berpunca hujan yang ekstrem di kawasan Gunung Jerai sehingga menyebabkan banjir lumpur di Daerah Kuala Muda dan Daerah Yan.

Kata beliau hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada lintasan.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula mendapati terdapat taburan hujan lebat luar biasa dalam tempoh yang singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan, bermula jam 2.30 petang hari kejadian.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Stesen Hujan Gunung Jerai juga merekodkan bacaan kumulatif 281 mm dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting merekodkan bacaan kumulatif 172 mm.

Pada tinjauan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menemui beberapa laluan air terjun yang terbentuk akibat air yang melimpah turun antara tiga hingga empat lalu dengan pelbagai saiz.

“Selain itu pergerakan air akibat takungan di puncak gunung yang melebihi had juga boleh mengakibatkan fenomena kepala air.

“Namun saya tidak menyangka kejadian petang Rabu itu seteruk itu memandangkan ia sudah membentuk beberapa laluan air.

“Cuma kemungkinan dalam jangka masa panjang apabila wujud halangan baharu daripada sisa-sisa hutan atau pergerakan batu, ia boleh wujudkan bencana sama seperti ini,” kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin seperti dilapor media. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -