PM: PAS sokong pencalonan Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama Umno di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini sebagai usaha untuk memuktamadkan nama calon perdana menteri ke-9.

Rombongan PAS diketuai Timbalan Presiden Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Kelihatan turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

- Advertisement -

Ketika ditemui media selepas itu Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, parti terbabit menyokong pencalonan ahli parlimen Bera Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai calon perdana menteri.

Katanya, sokongan itu mewakili kesemua 18 ahli Parlimen PAS.

Semalam Umno mengesahkan parti itu mengemukakan nama Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno sebagai calon tunggal perdana menteri.

Media melaporkan nama Ismail Sabri dipersetujui kesemua 42 Ahli Parlimen BN dan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Pada Isnin lepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri selepas hilang sokongan majoriti apabila 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -