Muhyiddin pernah dipecat kerana pertahan prinsip

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pengunduran mantan perdana menteri mendapat perhatian masyarakat yang menyifatkan keadaan itu berlaku akibat permainan politik walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang pemimpin kesayangan ramai.

Malah beliau bukan sahaja berprinsip, namun sering merendah diri.

Keprihatinan Muhyiddin terserlah melalui pelbagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat yang terjejas akibat ancaman pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Seorang pembaca Harakah dari Rawang Azizi Ismail berkata, Muhyiddin pernah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana mempertahankan prinsip tidak berkompromi dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, mantan perdana menteri itu jelas mematuhi sumpah jawatannya untuk sentiasa mempertahankan Perlembagaan.

Selain itu jawatan yang disandangnya bukan suatu kemegahan, sebaliknya adalah tanggungjawab yang berat.

“Muhyiddin memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa sama beliau digugat dengan gertakan politik.

“Episod itu berulang apabila sekali lagi apabila beliau hilang jawatan pada 16 Ogos lalu. Namun prinsip Muhyiddin tidak berubah.

“Beliau rela berkorban daripada bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Azizi berkata, Muhyiddin juga tewas kerana permainan persepsi seperti kata orang tua-tua: “Nak tahu eloknya orang, tanyalah kawan, nak tahu tidak eloknya orang, tanyalah lawan.”

Katanya, nasihat orang tua adalah tepat kerana kebaikan atau keburukan seseorang bergantung kepada orang yang ditanya, iaitu jika mereka adalah rakan, besar kemungkinan segala yang baik akan diluahkan dan sebaliknya jika musuh, sudah tentu jawapannya adalah buruk.

“Persepsi boleh menaikkan seseorang jika berdasarkan maklumat yang baik, namun boleh menjatuhkan jika maklumat yang disampaikan adalah negatif.

“Dalam politik, persepsi adalah antara elemen penting yang boleh menyebabkan pemimpin atau parti dihormati dan menjadi pilihan atau jika sebaliknya, boleh mendatangkan rasa jengkel atau kebencian,” katanya.

Di negara ini, Azizi berkata pemimpin dan kerajaan jatuh kerana gagal mengawal persepsi buruk yang dimainkan, namun lebih ramai yang berundur kerana pendirian dan prinsip peribadi tidak disukai rakan atau lawan.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana rakyat tidak dapat melihat perubahan yang tidak pernah disaksikan di negara ini melalui tawaran kerjasama rentas parti yang ditawarkan Muhyiddin kepada semua parti politik.

Katanya, cadangan Muhyiddin sebenarnya sesuai dengan reformasi politik yang sering dilaungkan oleh pembangkang, tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana matlamat sebenar pembangkang merebut kuasa politik. – HARAKAHDAILY 18/08/2021

- Advertisement -