KSM sukses bawa pembaharuan bela hak pekerja, majikan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Tegar menghadapi serangan pandemik Covid-19, Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang diterajui oleh Menterinya, Dato’ Seri M. Saravanan dan Timbalan Menterinya, Dato’ Awang Hashim sukses dalam membawa pembaharuan bagi membela hak pekerja dan majikan di negara ini.

Ironinya, Saravanan mengangkat sumpah untuk jawatan tersebut, kira-kira seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu.

Apabila PKP dilaksanakan, musibah Covid-19 ternyata telah memberi kesan terhadap lebih 15 juta pekerja.

- Advertisement -

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal sumber manusia, isu pemotongan gaji, cuti tanpa gaji serta pembuangan pekerja adalah perkara yang paling kritikal yang perlu diselesaikan ketika itu.

KSM gigih berusaha membuat pemantauan mengenai aspek kebenaran majikan beroperasi, keperluan kehadiran bekerja bagi pekerja, pembayaran gaji penuh oleh majikan, potongan gaji, isu menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji serta kaedah bekerja dari rumah.

Sehubungan itu, bagi membantu rakyat menyelesaikan masalah berkenaan, kementerian di bawah kerajaan PN ketika itu telah memperkenalkan program subsidi upah sebagai penambahbaikan dan perluasan kepada program pengekalan pekerjaan (ERP) dalam Pakej Prihatin yang pertama.

Program ERP menyediakan dana sebanyak RM120 juta, termasuk bantuan segera sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing untuk mengurangkan kos operasi perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.

Program ini khusus untuk pekerja swasta yang mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan bergaji RM4,000 ke bawah.

Program subsidi upah yang diperkenalkan di bawah Pakej Prihatin pada 27 Mac 2020 pula dilancarkan dengan matlamat membantu majikan dalam semua jenis perusahaan yang terkesan akibat Covid-19 untuk meneruskan operasi tanpa terpaksa mengurangkan tenaga pekerja.

Program subsidi upah adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah hanya untuk tempoh tiga bulan sahaja.

Selain itu, KSM juga membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengalami masalah gaji atau upah pekerja.

Ia berikutan isu beban upah yang terpaksa dipikul oleh usahawan PKS sehingga menjejaskan pelaksanaan pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Oleh itu, KSM berusaha mencari jalan penyelesaian dengan memberi manfaat kepada semua pihak melalui program subsidi upah dengan jumlah peruntukan RM13.8 bilion untuk sejumlah 4.8 juta pekerja.

Daripada jumlah berkenaan, RM7.9 bilion adalah peruntukan tambahan yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat PKS Tambahan atau Prihatin Tambahan.

Baki peruntukan RM5.9 bilion pula sudah diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 bagi meringankan beban kewangan PKS dan masalah aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan PKP.

KSM juga telah menguatkuasakan sepenuhnya Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] pindaan 2019 pada 1 September 2020.

Menerusi penguatkuasaan tersebut, pemeriksaan terhadap sejumlah 3,452 majikan melibatkan 11,049 pekerja tempatan dan 90,677 pekerja asing telah dilakukan dari 1 September 2020 hingga 31 Januari 2021.

Hasil pemantauan secara berterusan itu telah membolehkan kementerian membuka kes 124 kertas siasatan yang melibatkan 59 majikan dari pelbagai sektor termasuk pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan dan perkilangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pematuhan akta ini amat penting bagi memastikan hak asasi pekerja sentiasa dilindungi dan selaras dengan keperluan antarabangsa dalam menghormati hak asasi pekerja. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -