Sumbangan untuk penduduk dan kompleks tahfiz moden

- Advertisement -

KUALA KRAU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau telah menyantuni warga penduduk setempat dengan sumbangan bantuan kebajikan kepada 85 keluarga yang tinggal dalam DUN Jenderak, di sini pagi semalam.

- Advertisement -


Ketua Pemuda PAS Kuala Krau, Ustaz Anuar Daud telah memimpin inisiatif menyalurkan sumbangan berkenaan bagi membantu penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19 serta terjejas sumber pendapatan dan berada di dalam tempoh kuarantin.

Penyampaian sumbangan tersebut telah diberikan secara ‘pick up’ di pusat pengumpulan barang sumbangan dan keperluan penduduk iaitu Balai Islam Pusat Tarbiyah DUN Jenderak, di sini.

Antara barangan disumbangkan adalah pek bakul makanan dan keperluan bayi kerana sangat diperlukan pada masa sekarang lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai dan masih bayi.

Menurut Ustaz Anuar, dengan adanya tempat pengumpulan ini, ia menjadi pusat sehenti dan amat memudahkan kerja setiap pihak untuk mengagihkan keperluan kepada penduduk yang memerlukan khususnya di DUN Jenderak.

“Bagi penduduk yang ada masalah pengangkutan, sumbangan akan dihantar dari rumah ke rumah bagi memudahkan urusan.

“Hari ini kami sempat memberi sumbangan kepada 28 keluarga sahaja, manakala selebihnya diserahkan kepada Pengarah Jentera Pilihanraya DUN Jenderak (JPRD), Aziz Abdul Rahman untuk menyempurnakan kepada keluarga yang belum sempat diberi sumbangan,” ujarnya.

Bantuan kebajikan ini merupakan kerjasama antara Pemuda PAS Kuala Krau dengan Pertubuhan Kebajikan Cakna Kuala Krau dan Pertubuhan Kebajikan Prihatin Jenderak.

Sementara itu, ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menyaksikan serahan cek sumbangan RM60,000 oleh Muslim Care Malaysia (MCM) kepada Pondok Moden Tahfiz Al-Banna, Kerdau, di sini pagi tadi.

Sumbangan disampaikan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan kepada Mudir Pondok Moden Tahfiz Al-Banna, Ustaz Aireroshairi Roslan sebagai inisiatif membiayai kos pembinaan kompleks tahfiz dianggarkan RM15 juta itu.

“Semoga sumbangan ini menjadi amal yang menyelamatkan kita di akhirat dan mempercepatkan usaha pembinaan tahfiz ini bagi menzahirkan slogannya iaitu ‘Memanusiakan Manusia’,” ujar Ustaz Shahril selaku juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau.

Turut hadir sama adalah Timbalan Pengerusi Institut Tahfiz Turath Al-Banna, Kamaruzaman Usop dan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kerdau, Saharudin Salleh.

Para dermawan boleh menyumbangkan melalui akaun Bank Rakyat Pondok Moden Tahfiz Al-Banna (1100209268) manakala segala persoalan boleh disalurkan kepada Kamaruzaman (014-8071036) – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -