Netizen mahu ‘Abah’ kekal sebagai PM

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR:
Rakyat berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia (PM) dan kepimpinan kerajaan tidak bertukar tangan buat masa ini, kerana keutamaan mendepani pandemik Covid-19.

Situasi itu dapat dilihat apabila netizen dan orang ramai meluahkan perasaan mahu Abah (perdana menteri) terus kekal menerajui pentadbiran negara. Kondisi itu dapat dilihat sejak semalam.

Noorhashim Mohamad menerusi laman FB, Himpunan Doa-Doa (HDD) memuat naik ucapan terima kasih kepada Muhyiddin atas jasanya selama ini sebagai PM dan mendoakan agar beliau dirahmati dan dikasihi Allah dunia dan akhirat.

- Advertisement -

Turut dimuat naik ialah beberapa foto PM, salah satunya menyenaraikan ciri-ciri Muhyiddin yang disifatkannya sebagai PM terbaik dalam sejarah Malaysia.

Ciri yang disenaraikan itu termasuk kebolehan perdana menteri membaca doa, pernah mengetuai takbir raya, boleh menjadi imam solat para menteri, tidak pernah labelkan orang Melayu sebagai pemalas.

Selain itu tidak pernah keluarkan kenyataan Malaysia bakal bankrap, tidak menyalahkan PM sebelumnya, tidak menyombong, tidak pernah menyuruh rakyat ikat perut, tidak pernah menyakiti hati orang dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, respons yang diterima daripada orang ramai terhadap kenyataan Noorhashim melalui HDD tersebut amat positif.

“Harapan kami satu Malaysia Muhyiddin kekal menjadi PM Malaysia. Tidak perlu buat masa ini tukar kerajaan. Yang perlu ialah beri keutamaan kepada kami (rakyat) yang sedang berduka dengan (serangan) Covid-19,” ujar Mariam Ismail.

Sementara Ismail Zaino Beedin pula memuat naik kenyataan yang berbunyi, “Adakah lagi PM seperti ini (Muhyiddin)?

“Sejuk hati, indah pandangan mata tatkala Tan Sri membaca doa dan setiap kali memberi amanat pasti ditutup dengan kalimah berserah kepada Allah. Moga Allah melindungi Tan Sri dan keluarganya.”

“Harap keputusan yang diputuskan Agong adalah yang terbaik demi negara khususnya untuk rakyat sekarang. Marilah kita sama-sama berdoa supaya PM kita (Muhyiddin) terus kekal menjadi PM Malaysia,” tulis pula Lily Md Nor.

Sementara melalui Info Ekonomi Muslim Malaysia, orang ramai turut memberikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai respons terhadap pengumuman beliau untuk meletakkan jawatan yang dimuat naik di laman Facebook Ariel Shahrazai.

“Tolong jangan mengalah. Lawan tetap lawan. Lawan sehingga ke titisan darah terakhir. Tolonglah jangan letak jawatan,” tulis Mustakim Ibrahim.

Sementara respons Hafizah Nisah Ali pula berbunyi: “Kita doa sama-sama agar Abah tetap menjadi PM kita. Insya-Allah, kita lawan sama-sama Covid-19. Tiada yang layak gantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Muhyiddin semalam mengumumkan akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai PM kepada Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Ekoran itu rakyat menyuarakan simpati dan sokongan terhadap Muhyiddin melalui media sosial terutama laman Facebook. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -