Ketepi satira politik tidak bermanfaat kepada rakyat

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan semua pemimpin politik mengenepikan sebarang satira politik yang jelas tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara ketika ini.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin, mereka sewajarnya menjalankan tanggungjawab yang digalas sebaiknya bagi membantu rakyat sehingga ke akar umbi terutama ketika pandemik sedang memuncak ini.

Katanya, pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan perlu dimanfaatkan wakil-wakil rakyat semaksimum mungkin untuk membantu rakyat terjejas di kawasan masing-masing.

- Advertisement -

“Fokuskan untuk turun berjumpa dengan rakyat dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan melalui ahli Parlimen iaitu Program Bakul Makanan bernilai RM300,000 bagi menyantuni rakyat, mendengar dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat ini,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional menyifatkan musibah wabak berjangkit ini memberikan ruang yang luas kepada wakil rakyat untuk berkhidmat sebaik-baiknya di kawasan mereka.

“Sebab itu ada hikmah Covid-19 ini, bila kita dikepung kita akan duduk bersama dengan rakyat maka dia boleh fokus dengan rakyat, kurangkan politiking, fokuskan kepada Pelan Pemulihan Negara.

“Insya-Allah kalau kita sama-sama berusaha, kita akan berjaya menangani Covid-19 ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Negara.

Sehubungan itu, pihaknya menyatakan sokongan penuh kepada titah Raja-Raja Melayu yang menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama pemimpin parti politik memelihara kestabilan serta perpaduan negara.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekiranya terdapat usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke Empat Belas di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru, semalam.

Bagaimanapun, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang sepatutnya bermula hari ini sehingga 22 Ogos ditangguhkan seketika minggu depan bagi membolehkan penilaian risiko wabak Covid-19 dilakukan. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -