Kejutan besar reda suhu politik negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KEJUTAN besar. Tiba-tiba suhu politik reda seketika petang tadi. Teori seumpama kerajaan perpaduan yang pernah diperdebatkan sebelum ini seakan muncul kembali.

Setidak-tidaknya menambat pemimpin politik yang mempunyai impian besar. Ketika wabak menular dengan kematian menakutkan tiada jalan lain kecuali sepakat semua pihak. Sepakat membawa berkat.

Pembangkang dan kerajaan perlu memasuki gelanggang gencatan senjata. Tiada pihak yang kalah atau menang. Dalam situasi pandemik sekarang wajar semua hulubalang politik letak senjata.

- Advertisement -

Jangan dibiarkan rakyat terus mual. Ketika Abah dan saf pimpinan Perikatan Nasional (PN) bertungkus lumus mendepani Covid-19, jangan pula pihak lain membiak virus.

Kerja yang sia-sia itu akan meletakkan negara dalam keadaan pincang. Maka formula terbaik dengan kejutan besar petang Jumaat tiba-tiba muncul.

Rupanya Utusan Malaysia sudah mengesan jejak itu sejak dua hari lepas. Laporan akhbar yang bernafas kembali itu, ‘Kejutan Besar’. Dan hari ini akhbar sama melaporkan majoriti PN selamat.

Ternyata telahan akhbar itu tidak jauh tersasar. Tahniah. Petang tadi Perdana Menteri mengumumkan kerajaan PN akan mengadakan persefahaman rentas parti.

Formula itu akan menjadi kenyataan sekiranya usul undi percaya terhadapnya dilulus di parlimen. Pembangkang dan Pakatan Harapan (PH) perlu berjiwa besar.

Selain itu Muhyiddin Yassin kelihatan meluah dengan ikhlas menghargai peranan Ketua Pembangkang. Satu kejutan besar tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.

Ketua Pembangkang akan diberi saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan. Masya-Allah, gencatan senjata itu sepatutnya disambut baik rakyat.

Lebih-lebih lagi pemimpin politik. Tentunya Anwar Ibrahim lebih berjiwa besar. Melupakan seketika peristiwa lama. PKR juga mampu memperkukuhkan kerajaan yang ada sekarang.

Ia bukan bermakna PKR perlu sokong kerajaan PN. Mungkin tidak begitu maksud Muhyiddin. Pengiktirafan sebagai menteri kanan maknanya akan sebaris dengan Ismail Sabri Yaacob, Hishamuddin Hussin, Fadhilah Yusof dan Dr Radzi Jidin.

Kata perdana menteri pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang kerana mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat.

Kerajaan juga memberitahu mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikatan Nasional.

Tujuannya bagi memudahkan untuk melulus usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Ia tiada tujuan lain. Ia bagi membolehkan kerajaan yang ada terus berfungsi mengurus pandemik. Formula itu sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat,” kata perdana menteri pada perutusan khas Bersama Memulihkan Negara petang tadi.

Isu politik negara nampaknya reda seketika. Hanya dua kemungkinan yang berligar sekarang. Sedangkan sebelum ini ramai tok nujum politik membuat ramalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional kekal atau sebaliknya.

Perkembangan yang berlaku hari ini seakan memberi episod baru. Lebih-lebih lagi rakan tahaluf PN yang membawa diri. Cuma agak bernasib baik jumlah yang membawa diri tidak ramai. Namun masih ada peluang untuk kembali rapat ke saf.

MCA dan MIC kekal pertahankan kerajaan PN. Semalam perdana menteri mengunjungi ulama terkenal di Marang. Nampaknya ada keberkatan di hari Jumaat yang mulia.

Politik negara pasti sedang melangkah ke fasa baru. Tiada yang menang, begitu juga tidak ada yang kalah. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -