Negara tidak perlu berdepan krisis politik ketika ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menjunjung kasih titah Sultan Johor serta Pemangku Raja Pahang yang menzahirkan keprihatinan berhubung keresahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang melanda negara ketika ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pandangan kedua-dua baginda menunjukkan sikap kepimpinan dan keprihatinan baginda berhubung pelbagai krisis yang melanda negara dan rakyat ketika ini.

“Kami menjunjung kasih atas titah Tuanku yang begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Mohd Amar berkata, pihaknya menyeru semua ahli politik untuk mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan seterusnya memberi tumpuan penuh kepada usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Kita menyeru semua untuk fokus dan bekerjasama menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan negara tidak perlu berdepan krisis politik ketika ini kerana ekonomi dan kesihatan negara semakin terjejas.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bermain politik sempit dan mengejar kuasa,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Shah menzahirkan kekecewaan Baginda dengan sikap segelintir pemimpin yang menggangggu kerajaan dan berebut kuasa ketika negara berdepan ancaman Covid-19.

Dalam perkembangan sama, baginda bertitah memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan Baginda sekarang.

Baginda turut bertitah menasihatkan semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

Di samping itu, baginda mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan untuk bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain dan tidak menuding jari sesama sendiri dalam menangani permasalahan.

Sementara itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dalam kenyataan asing turut menyeru rakyat bersatu dan bekerjasama mencari penyelesaian terbaik dalam menangani pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -