Lokasi PKPD dihuni ramai petugas barisan hadapan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Sri Bayu dekat sini yang bermula semalam mencetuskan kebimbangan sekiranya ramai yang didapati positif Covid-19.

Ini memandangkan separuh daripada lebih 2,000 penghuni di lokaliti berkenaan terdiri daripada petugas barisan hadapan seperti polis, tentera dan kakitangan perubatan.

- Advertisement -

Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan, berkata sebahagian besar dalam kalangan mereka tinggal di situ sama ada memiliki rumah sendiri atau menyewa.

Katanya, selain petugas barisan hadapan, selebihnya dihuni kakitangan kerajaan lain dan orang awam.

“Setakat dua hari lalu dikatakan 18 individu positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan dan ada seorang daripada kalangan petugas barisan hadapan.

“Kita bimbang jika lebih ramai pesakit terdiri petugas barisan, mungkin akan menjejaskan rutin kerja mereka terutama membabitkan penugasan sepanjang pandemik sekarang,” katanya di sini semalam.

Difahamkan pada awalnya wabak itu dikesan di lokaliti berkenaan membabitkan sepasang suami isteri yang bekerja di luar daerah sehingga menyebabkan penularan jangkitan terbabit.

Terdahulu, Mohd Adanan meninjau proses agihan 450 bakul makanan yang dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sukarelawan di bawah Dun Kelaboran. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -