Pengumuman PM langkah tepat bantu pulih ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap kelonggaran yang diberikan kerajaan bagi individu yang lengkap dos vaksin perlu disertai dengan disiplin terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, kehadiran pelbagai virus Covid-19 jenis variant of concern terutamanya varian Delta memaksa kita mematuhi setiap arahan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga sedikit kelonggaran yang dibuka dimanfaatkan sebaiknya. Diharap kita kita sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dijauhkan dan diangkat wabak Covid-19 daripada negara,” katanya pada kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kemudahan bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksinasi.

Antaranya dibenarkan aktiviti solat di masjid dan surau bagi umat Islam manakala aktiviti sembahyang di rumah ibadat bagi penganut bukan Islam.

Bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara dibenarkan rentas daerah, makan di restoran, aktiviti pelancongan dalam negeri sama melibatkan hotel dan homestay serta sukan tanpa sentuhan.

Kamaruzaman juga berkata, PAS menyambut baik pengumuman kelonggaran untuk mengimarahkan semula masjid dan surau yang diberikan di seluruh negara.

“Umat Islam hendaklah mengambil peluang untuk hadir ke masjid atau surau dan mendekatkan diri kepada Allah supaya dapat mengelakkan daripada tertekan dengan suasana mencabar pandemik,” ujarnya.

Menurutnya juga secara asasnya, beberapa aspek penting diberi penekanan termasuk kelonggaran terhadap institusi keluarga dan merancakkan ekonomi domestik.

Kata beliau aspek kekeluargaan bertepatan dengan naluri kemanusiaan terutamanya dalam menghadapi kelesuan pandemik (pandemic fatigue).

Selain itu, merancakkan ekonomi domestik sebagai langkah yang tepat bagi membantu kelangsungan ekonomi usahawan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Penting bagi kerajaan untuk mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -