Sunnah untuk makan, hadiah dan sedekah daging korban

- Advertisement -

PADA zaman Jahiliyah, orang-orang Musyrikin tidak mahu memakan haiwan-haiwan sembelihan korban mereka kerana salah faham dengan penyelewengan datuk nenek moyang mereka terhadap syariat Nabi Ibrahim A.S.

Selepas kebangkitan Nabi Muhammad S.A.W, hal itu diperbolehkan bagi kaum Muslimin. Kerana itu, sesiapa yang ingin memakan sebahagian daging binatang korbannya adalah dibolehkan bagi mengambil keberkatan daripada sembelihan atas dasar ibadah kepada Allah S.W.T. 

- Advertisement -

Daging-daging yang selebihnya itu bolehlah diberikan kepada mereka yang memerlukan dari kalangan golongan fakir dan miskin, sama ada yang ketara kesusahannya atau yang menyembunyikan kesusahannya dan tidak meminta-minta. 

Firman Allah S.W.T:

فَكُلوا مِنها وَأَطعِمُوا البائِسَ الفَقيرَ

“…dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

(al-Haj: 28)

Begitulah indahnya ibadah dalam Islam yang menganjurkan umatnya berkongsi kegembiraan dan kurniaan rezeki daripada Allah S.W.T. Pada tahun ini pula, agihan bahagian peserta korban akan dihantar terus kepada peserta yang mengambil bahagian dan fakir miskin berdasarkan senarai nama yang telah ditetapkan.

Bagi sesetengah tempat yang mendapat kebenaran, agihan dengan kehadiran peserta boleh dilakukan dengan syarat kehadiran peserta ketika pengambilan bahagian tidak boleh melebihi jumlah petugas dalam satu masa, dan elakkan 3S (tempat yang sesak, tempat sempit dan tertutup dan bersembang dekat-dekat).

Sama-sama kita meneruskan amalan sunnah untuk makan, memberi hadiah serta bersedekah dengan daging korban. Mudah-mudahan amalan ini akan menggembirakan banyak jiwa yang sedang mengharung bermacam-macam jenis ujian dalam tempoh pandemik ini.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 20/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/446352142470360/posts/1221832091589024/

- Advertisement -