Sungguh, kalian berhak ditolong Allah

- Advertisement -

TERDAPAT satu Hadis yang menyebutkan perihal 3 golongan yang dijanjikan pertolongan Allah. Sabda Nabi S.A.W:

- Advertisement -

ثلاثةٌ حقٌّ على اللهِ عزَّ وجلَّ عونُهم؛ المكاتِبُ الذي يريدُ الأداءَ، والنَّاكحُ الذي يريدُ العفافَ والمجاهِدُ في سبيلِ اللهِ

“Tiga golongan yang berhak mendapat pertolongan Allah, iaitu;

i. Seorang hamba yang menebus dirinya supaya dimerdekakan,
ii. Dan seorang yang bernikah kerana ingin memelihara kehormatannya,
iii. Dan seorang mujahid yang berjihad di jalan Allah.”

(Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Imam Nasaie)

Pengajaran dan komentar

1. Sebahagian Ulamak ketika memberi komentar terhadap Hadis ini menyebutkan, tiga golongan ini adalah gambaran kepada situasi sukar yang dihadapi oleh manusia untuk ditunaikan, kecuali apabila mereka bersungguh-sungguh, nescaya akan diiringi nusrah Tuhan.

2. Aspek hamba dan jihad perang mungkin tidak sesuai dibicarakan pada waktu ini, tetapi anak muda yang tergendala pernikahannya disebabkan PKP, sangatlah benar. Kahwin muda sangat digalakkan di dalam Islam. 

Tradisi zaman dahulu, apabila disebut kahwin muda, berkahwin sebelum umur 20 an suatu yang biasa, tetapi zaman kini, kahwin ketika umur mencecah 21 tahun ke atas suatu yang diterima umum.

3. Mungkin ramai yang telah mengatur majlis Resepsi Perkahwinan, tetapi ditangguhkan atau terpaksa dibatalkan, tetapi ada juga yang berjaya melangsungkannya dengan penuh kesederhanaan hasil komitmen yang tinggi. Al-maklum, tradisi kenduri kahwin di Malaysia ‘mesti’ skala besar. 

4. Kata Syeikh Fathi Yakan, kahwin merupakan solusi dari Nabi yang mujarab untuk merawat barah sosial. Adapun berpuasa kerana menahan nafsu, ia hanya bius sementara sahaja. Namun, ia juga panduan Nabi S.A.W sebagai terapi yang berkesan.

Maka selayaknya kesungguhan orang muda mengakhiri zaman bujangnya demi menyelamatkan diri daripada perkara haram untuk menjemput pertolongan Allah.

5. Satu lagi golongan, sangat patut diberi pertolongan Allah ialah pemimpin yang memudahkan urusan rakyatnya, dan semua perkara yang diputuskan adalah demi maslahah ummat.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: 

“Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga.”

(Riwayat Muslim) 

6. Apa jua posisi dan keadaan kita di waktu ini, permudahkanlah urusan orang lain supaya ia berbalik semula kepada kita. Moga urusan kita dipermudahkan dan diberi pertolongan oleh Allah setelah kita melaksanakan kewajipan sebagaimana sepatutnya. 

Post script: Sebenarnya nak ucap tahniah buat saudara Abdul Razak yang akan bernikah pada hari ini, kebetulan terjumpa Hadis ini ketika membelek karya Syeikh Fathi Yakan yang bertajuk Al ‘Iyadah Ad Da’wiyah. 

Salam Jumaat daripada yang telah berkahwin 9 tahun lepas.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 16/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10226003335289623/

- Advertisement -