Aidil Adha perayaan agama umat Islam

- Advertisement -

TAHUN ini pastinya agak sayu kerana Allah masih belum memberikan kesempatan untuk kita semua pulang beraya bersama ahli keluarga di kampung. Rindu kemeriahan menyambut Hari Raya Aidiladha dengan berkumpul menguruskan haiwan korban di masjid-masjid.

Dalam keadaan yang serba sederhana tahun ini, sama-samalah kita cuba meraikannya mengikut cara yang sesuai seperti yang dianjurkan syarak, dengan niat untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

- Advertisement -

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat jahiliyah Arab telah memiliki dua perayaan iaitu Nairuz dan Mahrajan yang diraikan dengan pesta yang tidak bermanfaat. 

Mereka meminum minuman yang memabukkan, berhibur dengan tarian, beradu tenaga dan lain-lain ritual dalam kedua-dua perayaan kedua hari raya tersebut.

Dikatakan perayaan tersebut berasal dari budaya Parsi Kuno. Selepas berlakunya peristiwa hijrahnya Rasulullah S.A.W ke Yathrib, Baginda telah menggantikan kedua-dua perayaan itu dengan dua hari raya yang lebih baik iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Dalam satu Hadis diriwayatkan bahawa:

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ ‏”‏ ‏.‏ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ 

“Daripada Anas bin Malik R.A, katanya ketika Rasulullah S.A.W tiba di Madinah, penduduknya menyambut dua hari perayaan dengan berseronok dan bermain pada kedua-duanya. Lalu baginda bertanya: “Apakah dua hari perayaan ini?” Mereka menjawab, “Kami berseronok pada kedua-dua hari ini pada masa jahiliyyah”. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang lebih baik iaitu hari Aidilfitri dan hari Aidiladha.”

(Sunan Abu Daud, no.1134, Musnad Ahmad, no.12362)

Pensyariatan kedua-dua perayaan ini mempunyai kaitan dengan pelaksanaan ibadah yang besar dalam Rukun Islam. Aidilfitri disambut bagi meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selepas berpuasa sepanjang bulan Ramadan, manakala Aidiladha disambut dalam musim umat Islam menunaikan ibadah Haji.

Begitulah sambutan dua perayaan dalam Islam yang mempunyai falsafah yang tertentu berkaitan dengan peribadatan (Ubudiyyah). 

Ini bermakna, perayaan dalam Islam bukan sekadar hari bergembira dan berhibur tanpa batas sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam yang terkeliru. 

Matlamat perayaan dalam Islam adalah jelas iaitu mengajak umat Islam agar kembali kepada Allah S.W.T bagi meraih keredaanNya di dunia dan di akhirat.

Walaupun mungkin tidak semeriah tahun-tahun yang sudah, syukurilah sebegitu banyak nikmat yang Allah pernah berikan kepada kita sebelum ini dengan tetap meraikan Aidiladha mengikut cara yang bersesuaian dengan situasi pandemik ini.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 19/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/446352142470360/posts/1220799785025588/

- Advertisement -