Sambutan Aidilfitri tahun ini penuh cabaran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dianggap memberi cabaran kepada umat Islam di negara ini kerana tidak dapat bersua dan bertemu sanak saudara dan sahabat handai seperti lazimnya.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 menyebabkan budaya ziarah tidak dapat dilakukan sehingga sambutan Aidilfitri agak sunyi dan lengang.

Anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, sambutan Aidilfitri dalam suasana wabak yang menjadi ujian terbesar bagi umat Islam di seluruh dunia.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) sambutan hari raya hanya di kediaman masing-masing agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dan peningkatan jangkitan dikurangkan.

“Hari raya tahun ini disambut dengan mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan kerana kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19 yang begitu membimbangkan.

“Begitu rakyat yang berada di perantauan diharap ujian ini dapat dilalui dengan penuh kesabaran dan keimanan, mudah-mudahan segala amal ibadah yang kita lakukan diterima-Nya,” katanya yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO.

Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor turut mendoakan supaya semua amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan diterima serta mengharapkan anugerah terbaik di akhirat kelak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan kemungkinan wujud peningkatan kes positif Covid-19 pada musim perayaan jika SOP tidak diikuti dengan sebaik mungkin oleh rakyat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) merangka SOP untuk diikuti rakyat bagi menyekat penularan wabak tersebut dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -