Sokong RCI, kekalkan model TH dan integritinya

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyambut baik segala usaha penambahbaikan dan penyusunan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta cadangan meletakkan TH di bawah kawal seliaan Bank Negara Malaysia (BNM). Bukanlah suatu perkara baru bagi sesebuah institusi kewangan diletakkan di bawah kawal selia sebuah badan pengawal seliaan tadbir urus yang berkepakaran.

Sebelum ini, beberapa institusi kewangan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut diletakkan di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Kawal selia dari badan pengawal seliaan tadbir urus yang berkepakaran akan memberi kuasa kepada badan tersebut membuat audit ke atas operasi institusi kewangan tersebut, sebagaimana BNM melaksanakan audit ke atas semua bank-bank komersial yang lain. Ianya akan dapat membantu mengatasi isu penyelewengan dan salah guna kuasa serta membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan operasi TH. Ini juga bagi memastikan TH tidak menjadi lubuk kaut untung atau buat duit bagi sesetengah ahli politik, seperti yang berlaku sebelum ini.

- Advertisement -

Pemuda PAS menyambut baik kenyataan dari TH, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi menjawab kekeliruan berkenaan model baharu operasi TH ini. Penegasan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa TH akan kekal di bawah kuasa beliau melegakan seluruh umat Islam. YB Menteri bertanggungjawab untuk memastikan hak umat Islam serta hak 8.3 juta pendeposit yang juga bakal jamaah Haji kekal terpelihara.

Pelaksanaan kawal selia oleh BNM tidak semestinya perlu meletakkan TH di bawah Kementerian Kewangan (MOF) dan BNM. Ini sama seperti model Bank Rakyat yang kekal di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sekalipun diletakkan di bawah kawal selia BNM. Oleh itu, Pemuda PAS menegaskan TH harus kekal berdiri sendiri dengan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) walaupun dikawal selia oleh BNM. Pemuda PAS turut menggesa supaya pelaksanaan ini tidak memberi kesan kepada jaminan pemberian hibah kepada pendeposit, bagi menjana ekonomi umat Islam.

Institusi TH harus kekal diurus tadbir dengan baik, beramanah dan berintegriti bagi memastikan ia dapat melaksanakan fungsinya dengan baik. Penubuhannya yang suci, serta tanggungjawab yang dipikul TH bagi menguruskan wang simpanan bakal-bakal jamaah Haji serta umat Islam di Malaysia, memerlukan ia diuruskan dengan betul. Pemusatan kuasa di bawah sesetengah individu atau pihak tertentu, tanpa sebarang kawal selia dan pemantauan, akan membuka kepada penyelewengan yang bakal merosakkan dan merugikan TH, kerana ‘absolute power corrupts absolutely’. Justeru, TH harus dikawal selia dan diuruskan dengan baik, tanpa campur tangan politik yang bakal merosakkan institusi kewangan Islam terbesar ini.

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4518334424877582/

- Advertisement -