Program Prihatin MAIK Covid-19 peruntuk RM40 juta

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kira-kira RM40 juta diperuntukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di bawah Program Prihatin MAIK Covid-19 bagi mengurangkan beban golongan terjejas berikutan penularan wabak.

Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali berkata, bantuan itu disumbang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Katanya, Program Bantuan Prihatin MAIK membabitkan lima fasa memberi manfaat hampir 50,000 penerima pelbagai agama dan bangsa di seluruh Kelantan.

Kata beliau bantuan berkenaan dibiayai menerusi tabung Baitulmal yang diperoleh daripada aktiviti pelaburan MAIK, sumbangan kerajaan Pusat dan orang perseorangan.

“Program ini adalah sebahagian daripada bantuan yang kita salurkan menerusi kerjasama daripada NGO terlibat dan bukan melibatkan duit zakat.

“Sebab kita faham walaupun ada banyak pandangan kita cuba ambil jalan selamat duit zakat kita agihkan kepada orang Islam sahaja.

“Jadi untuk tujuan program bersama NGO kita bagi kepada semua rakyat yang terjejas tanpa mengira agama dan bangsa. Kita cari sumber-sumber lain selain daripada zakat untuk mengendalikan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 150 asnaf yang terjejas menerusi Program Bantuan Prihatin MAIK di Pusat Penerangan dan Dakwah Islam Antarabangsa (IIDAC) di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 13/7/2021

- Advertisement -