Ekonomi gelap: Cuci duit, scammer, peguam dan yayasan

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

BEBERAPA
minggu lepas penulis menonton dan mengikuti satu drama bersiri televisyen bertajuk Scammer lakonan Kamal Adli dan Siti Saleha. Scammer ialah sebuah siri drama televisyen yang ditayangkan di Astro Ria bermula dengan tayangan perdana pada 24 Mei lepas.

Dalam cerita itu watak Johari atau Joe lakonan Kamal Adli ialah seorang pegawai sistem maklumat di sebuah bank. Namun dia dikesan menggelapkan wang bank dan dibuang kerja.

Joe yang terdesak untuk mencari duit telah bertemu semula dengan kekasih lamanya, Amy, seorang peguam yang menjalankan perkhidmatan mengubah wang haram untuk penjenayah-penjenayah yang mahu mencuci wang haram mereka.

- Advertisement -

Kerana pengalaman Joe dalam bidang perbankan, Amy telah mengajak Joe bekerja dengannya. Antara urusniaga yang perlu dilakukannya ialah memindahkan duit kliennya yang cuba lari daripada cukai.

Penulis ingin memberikan ‘tabik spring’ kepada semua yang terlibat menghasilkan drama ini kerana ceritanya yang sangat berkualiti sementelah lagi ia dijayakan oleh pelakon-pelakon tersohor.

Drama ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada orang ramai tentang apa itu aktiviti cuci duit yang wujud dalam negara kita sekarang ini.

Aktiviti cuci duit atau pengubahan wang haram (money loundry) ini adalah satu aktiviti haram untuk menukar status duit-duit yang diperolehi secara haram untuk menjadikannya halal. Duit-duit yang diperolehi secara haram ini antaranya daripada rasuah; perniagaan barangan terlarang seperti dadah, pelacuran; atau duit hasil curi, rompakan, penipuan atau penyelewengan.

Duit-duit ini tidak boleh dideposit atau dimasukkan ke akaun bank begitu sahaja kerana pihak Bank Negara berhak untuk meminta penjelasan pelanggan dari mana punca duit tersebut. Jika pelanggan gagal memberi penjelasan yang memadai maka wang itu akan dianggap wang haram dan pemilik akaun boleh didakwa.

Kesalahan berkaitan pengubahan wang haram ini tertakluk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam drama tersebut antara aktiviti yang dijalankan oleh sindiket cuci duit ini ialah dengan menawarkan modal berniaga kepada usahawan-usahawan kecil secara tunai.

Pengubah wang haram ini akan mewujudkan beberapa syarikat yang mempunyai latar belakang perniagaan yang sah. Kemudian peniaga-peniaga yang diberi bantuan modal ini akan membuat pembayaran semula ke dalam akaun bank syarikat-syarikat milik pengubah wang haram itu atas alasan transaksi perniagaan untuk membeli stok dan sebagainya.

Apabila wang itu dimasukkan semula ke dalam akaun bank syarikat sah yang dimiliki oleh sindiket pengubah wang haram tadi maka duit tadi telah menjadi duit yang suci.

Aktiviti yang dipaparkan dalam drama ini mengingatkan penulis tentang satu peristiwa yang pernah menggemparkan dunia hiburan tidak lama dahulu apabila beberapa orang artis yang hartanya disita kerana dikatakan terlibat dengan sindiket cuci wang.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah beberapa orang artis ini telah didekati sindiket yang menawarkan mereka modal dengan sindiket ini berperanan untuk menjadi rakan niaga dan pemodal (funder). Namun akhirnya terdedah bahawa pemodal-pemodal ini sebenarnya adalah sindiket pengubah wang haram yang mendapat wang haram daripada penipuan Macau Scam.

Mungkin artis-artis ini tidak tahu bahawa pemodal itu adalah pencuci wang yang aktif menggunakan usahawan-usahawan yang memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan.

Penglibatan syarikat guaman dan yayasan

Satu lagi elemen yang ditonjolkan dalam cerita itu ialah, selain Amy, watak bapa mentua kepada Joe lakonan Arash Mohamad, juga membawa watak peguam yang juga adalah penjenayah pengubah wang haram.

Watak bapa mentua Joe itu yang pada permulaan cerita diperkenalkan sebagai seorang kaya yang banyak membantu peniaga-peniaga yang susah. Namun akhirnya terbongkar bahawa dia sebenarnya terlibat secara langsung dalam perniagaan gelap mencuci wang.

Penulis sempat menghubungi seorang sahabat penulis yang merupakan seorang pegawai SPRM untuk memahami isu ini. Dari maklumat yang diberi oleh sahabat penulis itu, memang syarikat-syarikat guaman juga terdedah kepada rangkaian sindiket cuci wang.

Syarikat-syarikat guaman ini selalu digunakan oleh pencuci wang sebagai pemegang amanah. Ini menjadikan syarikat-syarikat guaman antara salah satu alat yang biasa digunakan oleh pengubah wang haram untuk mencuci wang.

Menurut sahabat penulis itu biasanya sesebuah syarikat guaman ada mempunyai satu akaun yang khas untuk ‘pakir’ sementara duit pelanggan. Contohnya deposit untuk pembelian rumah sebelum pihak peguam membuat bayaran itu kepada pihak lain yang diarahkan pelanggannya.

Wang itu akan disimpan oleh syarikat-syarikat guaman yang berpakat dengan sindiket ini. Apabila sindiket ini mahu menggunakan wang ini maka syarikat guaman tadi akan membuat pembayaran bagi pihak pelanggannya itu. Biasanya syarikat guaman ini akan mendapat komisen yang besar peratusan daripada jumlah wang yang disimpan itu.

Selain syarikat guaman, yayasan juga sering digunakan sebagai topeng untuk mendalangi kegiatan cuci wang ini. Penggunaan yayasan sebagai alat cuci wang antara strategi banyak mata yang paling ampuh.

Seseorang pengubah wang haram yang menubuhkan sesuatu yayasan dengan mudah boleh memasukkan wang haram yang mereka miliki itu sebagai derma. Mereka boleh memasukan wang itu secara deposit mesin dan mendakwa tidak tahu siapa penderma yang memasukkanya.

Memang wang yang tersimpan di dalam yayasan milik mereka itu belum lagi boleh digunakan sesuka hati. Namun, apabila mereka mahu menggunakannya mereka boleh membuat pembelian daripada syarikat yang mereka tubuhkan sendiri.

Mereka boleh mendakwa mereka membeli daripada syarikat itu barangan runcit untuk diagihkan pada fakir miskin. Mereka akan membuat pembayaran pada syarikat pembekal yang sebenarnya milik mereka sendiri yang hakikatnya tiada barang yang mereka beli.

Apabila duit itu sudah masuk ke akaun syarikat tersebut maka wang itu sudah 100 peratus milik mereka yang sah dan mereka boleh menggunakan sesuka hati mereka.

Dan ahli politik korup adalah antara yang kerap menggunakan yayasan dan syarikat guaman sebagai alat untuk mereka mencuci wang. Dalam masa yang sama mereka yang memiliki yayasan juga dapat imej yang sangat baik kerana kononnya seorang dermawan kerana memiliki yayasan sendiri. – HARAKAHDAILY 13/7/2021

- Advertisement -