Kerajaan yang proaktif terhadap rakyat dan ekonomi

- Advertisement -

KERAJAAN sekarang yang dibentuk pada Mac 2020 seolah-olah diwujudkan untuk menangani kes pandemik sehingga digelar sebagai kerajaan penangkis COVID-19. Sejak ditubuhkan, kerajaan ini sering melaungkan slogan Prihatin Rakyat. Jadi, banyak tindakannya dilihat berfokus dalam menangani disebabkan COVID-19 yang sangat menjejaskan hidup seluruh rakyat.

Sejak ditubuhkan, kerajaan ini telah mengumumkan lapan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi. Pakej pertama diumumkan oleh kerajaan tanpa Kabinet di saat-saat akhir kejatuhan kerajaan yang lepas. Semua komponen pakej merupakan bantuan secara bukan tunai melalui institusi kawalan kerajaan atau institusi di bawah pengaruh kerajaan. Pakej-pakej lain mengandungi gandingan pakej bantuan tunai dan bukan tunai menggunakan model sama.

- Advertisement -

Malaysia sememangnya sudah mengamalkan tradisi menggabungkan pakej bukan tunai, khususnya dalam bentuk insentif pelaburan dan cukai dalam pengumuman Belanjawan tahunannya sejak berdekad lalu. Ini dipanggil tax expenditure. Ini merupakan satu usaha kreatif untuk merendahkan peruntukan Belanjawan bagi mengurangkan beban kerajaan dan rakyat dalam merangka Belanjawan. Di negara maju, perbelanjaan cukai ini menjadi isu dan masalah dalam perkiraan, perakaunan atau penganggarannya menyebabkan agak susah untuk menentukan beban negara daripada pengumuman Belanjawan setiap tahun.

Bila pakej rangsangan dikemukakan, memang dijangkakan sebahagian besar pakej akan dilaksanakan dalam bentuk bukan pemberian tunai terus kerana praktiks ini bukan satu budaya kerajaan di Malaysia sejak berdekad lalu. Ini mungkin disebabkan kerajaan sebenarnya dilihat mengamalkan model ekonomi berasaskan Anglo-Sexan (ASM) yang menekankan pasaran bebas dan kerajaan yang tidak campur tangan dalam urusan ekonomi.

Tidak hairanlah bila melihat pengumuman pakej rangsangan menggabungkan pakej bukan tunai dilaksanakan melalui pihak yang mudah dipengaruhi oleh kerajaan dan bantuan tunai terus pula dilaksanakan secara sederhana dan terhad. Ini membolehkan kerajaan menggunakan pengaruhnya untuk mencapai banyak matlamat pembangunan ekonomi pada masa lalu. Jadi, jumlah RM540 bilion yang dijana dalam pakej-pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang diumumkan sejak awal 2020 sebenarnya telah banyak memanfaatkan golongan isi rumah dan peniaga walaupun ia mungkin tidak melibatkan keperluan Belanjawan tambahan kerajaan. Ini adalah faedah daripada inovasi dalam Belanjawan Kerajaan.

Prihatin Rakyat

Bila kerajaan melihat kesan pandemik daripada penutupan ekonomi, mereka memikirkan tiada pilihan selain mengatur untuk membuat juga pemberian tunai terus kepada rakyat kerana kesan kewangan ke atas kumpulan B40 dan M40 sangat serius. Inilah permulaan perubahan ekonomi yang kini dilihat lebih menekankan kesejahteraan rakyat dengan slogan Prihatin Rakyat.

Kerajaan hari ini membuat pembayaran bantuan sara hidup, subsidi gaji, subsidi peniaga mikro dan lain-lain secara tunai untuk satu jumlah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Sebanyak RM87.6 bilion disalurkan terus kepada rakyat melalui beberapa skim khusus. Apa yang penting, kerajaan mengatur dan merancang usaha membantu meringankan beban dan kesan kegawatan rakyat secara berterusan melalui sembilan pengumuman pakej.

Bantuan tunai terus merupakan sesuatu yang baharu dan kerajaan agak teragak-agak untuk mengumumkannya. Ini kerana kerajaan masih dipengaruhi oleh semangat model Anglo-Sexan dan takut dilihat sebagai terlalu boros berbelanja atau dilihat berbelanja di luar kemampuan. Kerajaan berpegang kepada panduan kadar pinjaman tidak melebihi 55 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Tetapi kerajaan kemudiannya melihat bagaimana negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) yang walaupun mengamalkan model Anglo-Sexan, juga meluluskan bantuan pampasan gaji sehingga AS$3 trilion. Ini menjadikannya lebih yakin dan lebih berani untuk meningkatkan had pinjaman kepada 60 peratus dari KDNK.

Tentunya kepada kumpulan khusus yang menerima, mereka amat menghargai bantuan dan sumbangan sebegini kerana selepas mengalami lebih enam kali kegawatan ekonomi sejak kemerdekaan, inilah pertama kalinya isi rumah dan rakyat marhaen merasai nikmat bantuan terus daripada kerajaan.

Ini termasuklah skim moratorium pinjaman dan skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kedua-dua skim ini diperkenalkan kerana kebanyakan isi rumah tidak biasa dengan budaya meminta-minta bantuan terus daripada kerajaan. Khususnya orang Melayu dengan akhlak Islam yang kukuh merasakan praktik meminta-minta bukanlah satu tradisi hidup dalam Islam. Ini menyebabkan skim ini mendapat sambutan luar biasa.

Atas semangat ‘mendengar rintihan rakyat dan bertindak balas’, kerajaan merestui permintaan rakyat untuk mengeluarkan simpanan dari KWSP walaupun tahu ini akan merosakkan perancangan kewangan jangka panjang. Begitu juga kerajaan akur dengan memperkenalkan skim moratorium yang dapat meringankan beban kewangan rakyat serta-merta waktu kini. Inilah kerajaan yang bukan sahaja mendengar rintihan rakyat dan bertindak balas tetapi bertanggungjawab dalam dasar ekonominya.

PROFESOR EMERITUS DR. BARJOYAI BARDAI
Pakar Ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -