Siri 2: Larangan, perkara perlu elak ketika ‘posting’ medsos

- Advertisement -

MEDIA sosial (medsos) adalah platform terbuka yang boleh dimanfaat oleh orang ramai. Namun, keterbukaan media sosial juga boleh disalahguna dan membawa bencana. Dalam bermuamalah dan menggunakan media sosial, undang-undang mesti tetap dipatuhi setiap masa. Jangan kerana kita asyik leka menghitung like, dan mengira untung dek larisnya produk jualan, kita melanggar segala etika dan peraturan. Saya ungkapkan begini:

- Advertisement -

1. Jangan tipu.
2. Jangan fitnah.
3. Jangan hasut.

1. Jangan tipu.

Pelbagai lambakan produk dipapar di media sosial dengan deskripsi, gambar dan testimoni. Seharusnya segala maklumat yang diberikan adalah tepat dan tidak menipu. Deskripsi kelebihan produk yang diperbesar-besar dan testimoni yang direka-reka adalah penipuan.

Akta Perlindungan Pengguna 1999, khususnya Bahagian 2 dibaca bersama dengan Seksyen 25 menjadikan tindakan salah nyata, penipuan deskripsi dan juga harga sebagai satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum denda dan penjara. Oleh itu, berhati-hatilah jika anda berniaga di media sosial. Jujurlah dan jangan tipu.

2. Jangan fitnah.

Hantaran yang dilakukan mungkin diniatkan untuk memberi komentar dan kritikan. Namun janganlah sampai ia mengandungi kata-kata fitnah. Sekiranya hantaran itu dirujuk khusus kepada seseorang dan mengandungi kata-kata fitnah hingga boleh menjatuhkan reputasinya, maka ia boleh jadi kes fitnah. Orang tersebut boleh menyaman anda dan menuntut ganti rugi.

Terlalu banyak kes saman fitnah di media sosial sekarang ini. Walaupun banyak yang tiada asas dan hanya diperbesar, namun banyak juga yang difailkan lantaran keceluparan seseorang memfitnah, dan mereka-reka cerita untuk memburukkan orang lain.

Di mahkamah, jika anda gagal buktikan apa yang anda katakan itu benar, atau ia adalah komen yang adil, atau anda hanya melaksana tanggungjawab anda (misalnya wartawan) untuk menyampaikan maklumat, anda akan disabit kesalahan memfitnah. Dan ganti rugi yang perlu dibayar nanti juga adakalanya tidak murah. 

3. Jangan hasut.

Akta Hasutan 1948 jelas melarang perkataan-perkataan berbaur hasutan antaranya ke atas Raja-raja, keistimewaan-keistimewaan dan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga membabitkan kaum. Ini harus dijauhi sama sekali.

Kata-kata anda mungkin boleh mencetus ketegangan dalam negara. Dan jika ia melampaui batas, ia bukan lagi hak bersuara. Anda boleh ditangkap dan dituduh di bawah Akta Hasutan. Maka, kalau benci sekalipun, janganlah hingga menghasut. Wacanakanlah pandangan anda dengan ilmiah dan tenang.

Akhir kata, marilah sama-sama kita kawal diri kita sendiri daripada 3 jangan di atas. Supaya media sosial yang terbuka itu boleh membawa pahala, dan bukannya dosa percuma berganda. 

“Anda patuh undang-undang, andalah jaguh yang menang”

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -