Keberkesanan penggunaan Ivermectin masih dalam kajian

- Advertisement -

ADA pihak mempertikai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak mengambil bukti kajian yang telah ditulis oleh Andrew Bryant dalam American Journal of Therapeutic mengenai kejayaan Ivermectin merawat COVID-19. Dakwa mereka dengan jumlah meta-analisis 15 percubaan terkawal secara rawak (RCT) yang melibatkan 3,406 peserta menemui kepastian yang sederhana bahawa penggunaan Ivermectin dapat mengakibatkan pengurangan kematian COVID-19 yang besar. Penggunaan Ivermectin pada fasa awal klinikal penyakit ini (kategori satu dan dua) dapat mengurangkan jumlah pesakit daripada berkembang menjadi penyakit yang teruk.

Harap bersabar sekejap, tunggulah dulu hasil kajian yang sedang dijalankan oleh KKM. Saya bukan apa, apabila terlalu banyak sangat pemikiran yang bukan-bukan, diselang seli pula bercampur gaul dengan golongan antivaksin serta pro-konspirasi, agak skeptikal sahaja kenyataan yang menyokong Ivermectin.

- Advertisement -

Lagipun sudah banyak juga review jurnal lain yang menolak ke tepi penggunaan ivermectin, sebab terlalu banyak bias dan kecenderungan pihak-pihak tertentu. Tetapi apabila kita jawab begini, ada pula yang menuduh kita terlalu taksub dengan WHO dan Barat! Lalu ditokok tambah pula dengan persaingan kapitalis seluruh dunia dalam perlumbaan ubat-ubatan. 

Sebagai ahli perubatan, kita perlu melihat sains perubatan berdasarkan evidence based medicine bukannya sentimen. Kita bukan mengikut WHO membabi buta tanpa melihat fakta dan sejarah. Mari kita baca dan lihat beberapa hujah Profesor yang hebat dalam bidangnya mengenai isu ini.

Prof Dr Jafri Malin pernah kongsi mengenai satu jurnal kajian terbaharu terhadap penggunaan ivermectin untuk pesakit kategori 1 dan 2. Hasil kajian penggunaan ivermectin ke atas 400 orang pesakit itu tidak pun berkesan. Prof Jafri Malin ini adalah profesor dan pakar bedah otak USM yang cukup tersohor. Beliau juga menganggotai Akademi Sains Malaysia dan pelbagai badan profesional perubatan lain lagi. Saya yakin banyak lagi badan profesional perubatan dalam negara mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.

Mengenai laporan oleh Andrew Bryant, Prof Moy Foong Ming, Pakar Epidemiologi di Pusat Evidence Based Practice Universiti Malaya pernah menulis dan memberikan pandangan profesional beliau. Pakar Epidemiologi ini adalah kepakaran yang memang bergelumang terus dengan jenis-jenis kajian. Bukan calang-calang orang, penulisannya memang berfakta serta mengikut disiplin perubatan. Tulisan lanjut beliau boleh dibaca dalam The Sin Chew seperti rujukan yang saya sertakan. Secara ringkasnya, beliau menyatakan:

1. Sejumlah 24 kajian terkawal secara rawak (RCT) yang dinyatakan oleh Bryant ada banyak kekaburan fakta.

2. Lagipun kajian-kajian yang dipetik oleh penulisan Bryant itu banyak tidak dinilai semula oleh pakar pengkaji lain. Ianya berlegar di kalangan sendiri.

3. Terdapat kajian yang katanya berdaftar secara metodologi betul, tetapi tidak dibentangkan data itu secara telus.

4. Sumber dana membuat kajian oleh beberapa pengkaji tidak dinyatakan secara jelas. Ada yang ditaja oleh syarikat farmasi dan institusi tertentu.

5. Analisa beberapa kajian yang melibatkan pesakit sederhana dan teruk tidak signifikan atau hampir signifikan. Tidak signifikan bermakna, hasil kajian itu tidak boleh dijadikan hujah kukuh pun.

Kesimpulannya Prof Moy menegaskan kajian yang melibatkan Ivermectin di atas itu terdapat limitasi kaedah kajian yang serius. Bahkan ianya terlalu rendah pembuktiannya untuk diangkat sebagai ubat merawat atau mencegah COVID-19. Kajian perlu dijalankan dengan lebih ektensif bagi mengelakkan kesalahan metodologi kajian atau konflik kepentingan (Conflict of Interest) para pengkaji.

Saya kira kita tunggu dahululah kajian lain yang sedang dijalankan dalam negara kita dan seluruh dunia. Jangan terlalu gelojoh mengesyorkan sesuatu yang tidak pun terbukti secara jelas untuk merawat pesakit COVID-19. Kekadang terlalu banyak sangat konflik kepentingan dalam organisasi, boleh merugikan masa kita dan kita asyik berbalah sesama sendiri.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 23/6/2021

Rujukan:
[1] López-Medina E, López P, Hurtado IC, et al. Effect of Ivermectin on Time to Resolution of Symptoms Among Adults With Mild COVID-19: A Randomized Clinical Trial. JAMA. 2021;325(14):1426–1435. doi:10.1001/jama.2021.3071.
[2] Bryant A, Lawrie TA, Dowswell T, Fordham EJ, Mitchell S, Hill SR, Tham TC. Ivermectin for Prevention and Treatment of COVID-19 Infection: A Systematic Review, Meta-analysis, and Trial Sequential Analysis to Inform Clinical Guidelines. Am J Ther. 2021 Jun 17. doi: 10.1097/MJT.0000000000001402. Epub ahead of print. PMID: 34145166.[3] Prof Moy Foong Ming. Inadequate Evidence to Recommend Ivermectin in the Prophylaxis and Treatment of COVID-19. Opinion; The Sin Chew Online. June 22, 2021.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -