Pengambilan khas guru tepati memartabat pendidikan

- Advertisement -

Oleh NURUL RAHMAH NISIHUDIN

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah (PENDIDIK) menyambut baik pengambilan khas 18,702 guru secara one-off oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Presiden PENDIDIK, Normala Sudirman berkata, langkah itu amat bertepatan dengan hasrat untuk memartabatkan pendidikan di persada dunia.

Di samping usaha itu juga, katanya, ia dapat mengatasi isu lambakan graduan khususnya lepasan pendidikan IPTA (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) dan mengisi kekurangan guru yang sedia ada untuk negeri-negeri tertentu seperti Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

- Advertisement -

Menurut beliau, KPM perlu mengutamakan graduan yang memiliki ikhtisas pendidikan terutama dari lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) sebelum membuka ruang kepada graduan lain.

“Lebih mengutamakan yang benar- benar memiliki minat yang tinggi dan berkelayakan serta memiliki ciri-ciri kriteria yang sesuai,” katanya.

Tambah beliau, hanya yang memiliki minat serta kesabaran yang tinggi sahaja mampu bertahan serta menjiwai profesionalisme keguruan.

Pada 20 Jun lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata,kementerian itu akan melaksanakan pengambilan khas secara one-off seramai 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.

Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Katanya, cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.

“KPM perlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi bekalan (guru) yang ada untuk subjek tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.

“Dan disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM mengambil guru baharu untuk memenuhi kekosongan yang ada,” ujarnya.

Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Menurut Normala, pengambilan guru yang memiliki kriteria sesuai mampu memastikan kualiti pendidikan anak bangsa dijaga dalam bidang tugas yang menuntut kesabaran tinggi. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -