Perbincangan Khas 16 Jun prerogatif Yang di-Pertuan Agong

- Advertisement -

TINDAKAN mana-mana pihak yang mempertikai prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil perbincangan khas Yang di-Pertuan Agong dengan Raja-raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun 2021 menunjukkan pengabaian kepada prinsip kedaulatan negara dalam pentafsiran Perlembagaan.

Melandaskan amalan Westminster secara membuta-tuli dan pemakaian prinsip kedaulatan di England secara bebas untuk mentafsirkan sistem demokrasi di Malaysia adalah bercanggah dengan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan. 

Prinsip keluhuran Perlembagaan menjamin prerogatif SPB Agong dan Raja-raja Melayu seperti termaktub di dalam Perkara 181(1). Ramai yang mengagungkan sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia sedangkan sistem itu tidak mutlak serta tertakluk pada prinsip Kedaulatan Raja-raja dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Dari sudut Perlembagaan Persekutuan, Demokrasi Berparlimen bukan prinsip kedaulatan negara kita.

- Advertisement -

Prinsip kedaulatan negara secara nyata terpasak pada Perkara 181(1) yang perlu dibaca bersama dengan Jadual ke-IV iaitu sumpah Yang di-Pertuan Agong dan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Selagi tidak dibataskan oleh peruntukan Perlembagaan, SPB Agong mempunyai prerogatif untuk menentukan bagaimana prinsip kedaulatan, iaitu Islam yang bermatlamatkan pemerintahan yang adil menurut peruntukan Perlembagaan dapat dilaksanakan.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan prerogatif dan bidangkuasa Majlis Raja-raja begitu juga prerogatif dan bidangkuasa Yang di-Pertuan Agong. Kuasa tersebut diberikan oleh Raja-raja Melayu melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957 yang akhirnya dimuktamadkan melalui proses enakmen Negeri-negeri dan Ordinan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan dijamin oleh Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan mengatasi nasihat eksekutif, membataskan kuasa perundangan Parlimen dan menetapkan prinsip pentadbiran keadilan. 

Untuk memahami apa yang dilakukan oleh SPB Agong dan persetujuan Majlis Raja-raja yang akan menghadiri perbincangan khas pada 16 Jun 2021 dari sudut Perlembagaan Persekutuan, ada dua perkara pokok yang perlu difahami.

Pertama, mesyuarat Majlis Raja-raja boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang jatuh di bawah bidangkuasanya.

Mesyuarat Majlis Raja-raja boleh dipanggil oleh Penyimpan Mohor Besar atas kuasa budi bicara SPB Agong atau tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis Raja-raja untuk merundingi apa-apa perkara, termasuklah yang semata-mata berkaitan dengan keistimewaan, kedaulatan, kemuliaan dan Kebesaran Raja-raja Melayu, atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.

Dalam perkara-perkara yang menyentuh Perkara 38(4), SPB Agong boleh memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja tanpa perlu mengikut nasihat Perdana Menteri kerana itu secara jelas terjumlah dalam perkara yang dijamin oleh Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, dalam melaksanakan suatu perkara di bawah prerogatif dan bidangkuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan, Baginda tidak tersyarat dengan prosiding mesyuarat Majlis Raja-raja. Baginda mempunyai prerogatif untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-raja atau siapa sahaja demi memelihara kepatuhan pada sumpah berjawatan Yang di-Pertuan Agong seperti dinyatakan di atas.

Selagi tiada peruntukan secara nyata dalam peruntukan Perlembagaan yang membataskan tatacara pelaksanaannya, prinsip kedaulatan seperti terkandung dalam Jadual IV, Perkara 3(1) dan Perkara 181(1) adalah terpakai serta boleh dijalankan mengikut prerogatif YDP Agong.

Perbincangan khas pada 16 Jun ini merupakan hasrat SPB Agong untuk merundingi Raja-raja Melayu mengenai perkara penting yang berada dalam kewajipan Baginda di bawah Perlembagaan, bukan di bawah Perkara 38. Justeru, prosiding yang menyentuh urusan di bawah Perkara 38 tidak berkaitan atau mengikat di sini. Apa yang hendak dilakukan oleh SPB Agong pada 16 Jun adalah amalan syura yang bertepatan dengan intipati sumpah jawatan Baginda.

Justeru, tindakan SPB Agong dan persetujuan Raja-raja yang akan mengadakan perbincangan khas pada 16 Jun nanti perlu disanjung serta dilihat dari sudut kecaknaan Baginda-baginda untuk memelihara kepentingan rakyat keseluruhannya tanpa dibatasi fahaman kepartian. Perbincangan khas itu adalah tidak bercanggah dengan prinsip Perlembagaan malah mencerminkan antara forum yang sah bagaimana Institusi Beraja boleh berfungsi dalam kerangka undang-undang tertinggi negara.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 14/6/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -