Sedikit mengenali saudara bangsa Kurdish

- Advertisement -

SULTAN Salahuddin al Ayyubi berbangsa Kurdish. Saya bangga bila seorang sahabat baik di Iraq dulu seorang Kurdish bernama Abbas Khorshid. Seorang pelajar yang baik, tawadu’ dan bekerja keras. Selalu bila dia balik kampung di Kirkuk yang terletak sebelah Utara Iraq, ibunya akan kirimkan saya roti Kurdish yang sedap. Rupanya seakan-akan roti Arab tapi lebih besar dan nipis. Simpan seminggu pun masih elok lagi.

Baiknya Abbas Khorshid ini, bila dia datang awal ke dewan kuliah dan selalunya dialah yang datang lebih awal dari saya sebab Abbas tinggal di asrama, kerusi di sebelahnya akan direserve untuk saya. Orang lain tak boleh duduk.

- Advertisement -

Sikit sebanyak persahabatan saya dengan Orang Kurdish di Iraq mempengaruhi uslub penulisan dan percakapan saya. Orang Kurdish kalau kita tanya dia, mana telinga awak? Dia akan tunjuk telinga kiri menggunakan tangan kanan dari arah belakang! Cuba buat… guna tangan kanan, pusing ikut belakang kepala untuk sentuh telinga kiri. Heheheee… pelik kan? Itulah perangai orang Kurdish yang selalu menjadi jenaka. 

Tulisan saya banyak yang bernada nak sentuh telinga kiri guna tangan kanan dari arah belakang kepala. Tak semua orang dapat capai maksudnya. Yang tak dapat capai maksudnya, dia faham sekadar yang tertera di atas skrin.

Orang Kurdish memang bangsa yang lasak dan berani tinggal di kawasan pergunungan. Mereka juga bangsa pahlawan yang telah teruji. Kita semua tahu kisah Salahuddin al Ayyubi menang dalam Perang Salib bagi membebaskan Baitul Maqdis.

Pakaian harian orang Kurdish bukan jubah sebagaimana orang Arab. Mereka pakai seluar besar dengan baju yang dikemaskan dengan ikatan kain di pinggang serta kasut lembut. Pakaian yang sesuai untuk orang yang tinggal di kawasan pergunungan.

Benarkah Saddam menzalimi orang Kurdish? Kita perlu faham, Negara Kurdistan yang telah lenyap sekarang telah dipecahkan oleh penjajah Barat menjadi sebahagian dari Iraq, Turki, Syria dan Iran. Saya menilai Kurdish di Iraq diberi hak yang lebih baik berbanding orang Kurdish di negara-negara lain. Menteri Kesihatan zaman pemerintahan Saddam, Dr Umit Mudhit Mubarak ialah orang Kurdish. Pensyarah saya di Universiti Baghdad pun ada orang Kurdish antaranya Prof Dr Nizar at Talabani.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -