Kuasa menamatkan Darurat

- Advertisement -

SEKSYEN 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, menyebut ‘maka hendaklah diwujudkan suatu Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan Darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan, berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Virus Corona 2019 (COVID-19).’ Seksyen ini secara jelas memberi peranan kepada Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan tempoh Darurat.

Jawatankuasa Khas Bebas ini penting bagi memastikan Darurat 2021 benar-benar dilaksanakan sesuai dengan maksudnya iaitu untuk menangani wabak COVID-19. Penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Bebas perlulah berteraskan kepada fakta dan data secara jujur, komprehensif dan telus dengan oleh pihak-pihak yang berkelayakan dari segi kepakaran dan pengalaman serta mewakili semua pihak secara seimbang.

- Advertisement -

Penglibatan anggota yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk wakil-wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Bebas ini menggambarkan konsep keseimbangan, ketelusan dan keterbukaan itu.

Jawatankuasa Khas Bebas ini juga berperanan sebagai salah satu elemen ‘semak dan imbang’ memandangkan kuasa Darurat itu sendiri memberikan kuasa yang amat luas kepada pemerintah. Kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas ini dapat mengurangkan risiko salah guna kuasa kerajaan menjadikan Proklamasi Darurat sebagai alat politik untuk mengekalkan kuasa.

Jawatankuasa Khas Bebas bukanlah badan Eksekutif dan bukan juga badan Legislatif, tetapi ia adalah badan khusus yang ditubuhkan melalui Ordinan Darurat berpaksikan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak terletak di bawah Jemaah Menteri atau Perdana Menteri, tetapi ia berdiri sendiri dan bertanggungjawab kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan nasihat yang terbaik, jujur dan tepat.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara, yang turut memiliki beberapa kuasa budi bicara khusus dalam Perlembagaan Persekutuan, mempunyai peranan yang jelas untuk memastikan Jawatankuasa Khas Bebas memberikan nasihat yang berwibawa sesuai dengan ketinggian martabat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai payung utama rakyat.

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Khas Bebas perlu diberikan kebebasan dan kemudahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasnya termasuklah untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakyat agar nasihat yang diberikan benar-benar selari dengan kehendak rakyat dan keperluan sebenar negara demi menghadapi wabak COVID-19.

Jemaah Kabinet dan Perdana Menteri tetap mempunyai kuasa umum di bawah Perlembagaan dan di bawah kedudukannya sebagai badan Eksekutif dalam tempoh Darurat sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 11(a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, tetapi peranan khusus untuk menentukan tempoh Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jawatankuasa Khas Bebas.

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembangaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 14/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -