Agong bijak selesai kemelut politik

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengambil keputusan untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik negara wajar dipuji.

Langkah tersebut menggambarkan bahawa Agong mempunyai sifat kepimpinan yang mementingkan perbincangan dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, kebijaksanaan Agong wajar dihargai semua pimpinan politik, dan tidak disalahgunakan oleh sebahagian pemimpin yang tamakkan kuasa.

Jelasnya, sebarang usaha menimbulkan provokasi dan ketidakpercayaan kepada Agong seperti yang dimainkan sesetengah parti politik, adalah suatu tindakan derhaka dan khianat.

“Berikan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan KDYMM (Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia) Tuanku, serta perbincangan bersama Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang turut dianggotai tiga ahli parlimen pembangkang untuk menentukan sama ada perlunya darurat diteruskan atau tidak.

“Pemuda PAS memberi amaran kepada mana-mana ahli politik yang ingin menyalahgunakan peluang ini untuk mendapatkan kuasa, jangan berani bertindak bodoh sehingga menggugat kesejahteraan dan keamanan negara dalam tempoh pandemik ini.

“Pemuda PAS turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha KDYMM Yang di-Pertuan Agong, serta mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia.

“Semoga kita semua sentiasa bersatu dalam melawan pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa kita, serta membangunkan kembali negara ke arah yang lebih baik,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Khairil, dalam pemerhatiannya, menjadi kelaziman bagi Agong mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya dalam isu melibatkan politik dan pemerintahan negara.

Malah, sebelum ini juga Agong telah mengadakan pertemuan yang sama semasa negara menghadapi kemelut politik.

Atas usaha itu, akhirnya penyelesaian ditemui dan kemelut dapat dihentikan, kata Khairil.

Justeru itu, beliau mewakili Pemuda PAS merakamkan sembah takzim atas kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menghadapi kemelut politik. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -