Malapetaka PSR: Jawapan terhadap 7 hujah dangkal CKY

Surat terbuka untuk Ketua Menteri Pulau Pinang

SURAT terbuka ini saya tujukan pada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai menjawab 7 perkara utama daripada kenyataan media pada 13 Jun 2021 yang bertajuk ‘Kenyataan balas berhubung isu sumber perikanan di tapak projek tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR)’.

Advertisement

Saya telah nyatakan jawapan-jawapan bagi setiap perkara utama seperti berikut;

1. Pulau Pinang kehilangan peluang untuk membangun.

Jawapan:

Sebenarnya Kerajaan Negeri akan kehilangan peluang pemilikan 70 peratus daripada pegangan Pulau A jika PSR diteruskan.

Pulau Pinang tak pernah kehilangan peluang membangun tanpa tambakan laut. Pembangunan Seberang Perai adalah masa depan Pulau Pinang yang mesti diutamakan dan sudah tentu gadaian 70 peratus pegangan Pulau A dapat dielakkan.

Apa yang sedang dibuat oleh Kerajaan Negeri sekarang umpama ‘Si suami mahu bermewah dengan berhutang membeli kereta mahal, namun barang kemas isteri digadaikan’. Idea pembangunan kononnya bijak, rupanya dengan menggadai hak milik awam.

Selain itu, peluang untuk tender terbuka (open tender) bagi pelaksanaan projek ini juga hilang. Ini berlaku apabila SRS PD dan SRS TC diizinkan oleh Kerajaan Negeri menjadi Pembangun Projek dan Kontraktor Turnkey, di mana masing-masing mendapat peluang secara runding terus (direct nego).

Ke mana perginya seruan ‘open tender’ Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama ini? Telah hanyut dibuai kepentingan tertentu kah atau terlalu terdesak untuk teruskan tambakan PSR walaupun dengan menggadai tanah pesisir pantai strategik demi pemaju kesayangan?

2. Pulau Pinang kehilangan peluang mewujudkan pekerjaan untuk rakyat (setelah melaksanakan projek tambak laut). 

Jawapan:

Jika benar projek tambak laut mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat, apa sudah jadi dengan Projek Tambakan Seri Tanjong Pinang 2 (STP2) yang sedang terbengkalai kini?

Berapa banyak peluang pekerjaan yang ada dalam kalangan rakyat berbanding untuk pekerja asing? Berapa banyak peluang kerja yang sesuai untuk nelayan?

Pada hemat saya, kalau tambakan STP2 pun sedang nyawa-nyawa ikan mencari pelabur sekarang , jangan bermimpi di siang hari untuk mampu mengurus tambak PSR!

3. Nelayan dikatakan mendapat manfaat ‘Social Impact Management Plan’ (SIMP) yang boleh memperbaiki sosio-ekonomi. 

Jawapan: 

Cukuplah dengan janji palsu yang tiada hitam putih tersebut. Pemberian RM20,000 hanya untuk tekong bot untuk seumur hidup tersebut itu pun dah dikira penghinaan terhadap nelayan. Untuk rekod saguhati seumur hidup awak-awak adalah kurang daripada amaun tersebut.

Apa kata saya cadangkan YAB Ketua Menteri (KM) dan ADUN-ADUN yang menyokong PSR, ambil sahaja pakej RM20 ribu seumur hidup tersebut. Kemudian sebagai tukar ganti, berikan gaji-gaji YAB Ketua Menteri dan semua ADUN kepada nelayan terjejas. Kalau begitulah tawarannya, barulah padan untuk YAB Ketua Menteri untuk cakap soal memperbaiki sosio-ekonomi. 

4. Nelayan masih ada tempat yang luas untuk aktiviti penangkapan di luar kawasan tambakan PSR.

Jawapan: 

Sepatutnya kawasan tambakan PSR perlu dibuat jauh daripada kawasan berteluk strategik pembiakan ikan dan udang tersebut. Dengan lojik yang sama, apa salahnya jika tambakan laut PSR dibuat di kawasan luas lautan kira-kira lebih 10 batu nautika luar daripada pesisir pantai Pulau Pinang.

Sudah tentu laluan khas alur navigasi seluas 250 meter tak diperlukan lagi. Sudah tentu penghuni-penghuni PSR nanti lebih privasi dan aman di tengah laut. Kenapa Kerajaan Negeri perlu merampas kawasan penangkapan nelayan yang subur tersebut ? 

5. Kawasan Selatan hanya menyumbangkan 4 peratus kepada pengeluaran ikan pada tahun 2015.

Jawapan:

Jika benar pengeluaran ikan adalah 4 peratus, ini bermakna selama ini Kerajaan Negeri seolah-olah sengaja membiarkan pengeluaran tersebut rendah untuk dijadikan alasan bagi menyokong tambakan PSR.

Adalah sangat tidak wajar jika kegagalan terancang direncana secara licik demi agenda jahat tambakan PSR? Seharusnya Kerajaan Negeri harus fokus mempertingkatkan angka 4 peratus, bukan melaksanakan tambakan laut PSR boleh menjatuhkan lagi angka pengeluaran perikanan tersebut.

6. Kerajaan Negeri akan memastikan kerja penambakan berlaku secara terkawal dan tidak menyebabkan pencemaran.

Jawapan:

Banyak sangat janji yang tak ditepati bahkan menyebabkan bencana. Tembakan laut STP2 adalah bukti nyata bahawa laut di kawasan Tanjong Tokong telah tercemar. Kenapa harus berpura tak tahu hal ini?

Kerajaan Negeri mempunyai rekod gagal mengawal projek pembangunan yang menyebabkan bencana dan kematian nyawa seperti insiden Bukit Kukus dan Granito, Tanjong Bungah. Hasil siasatan disorok daripada pengetahuan masyarakat awam sehingga sekarang. 

Tambakan laut PSR dengan kehadiran kapal-kapal korek yang mengangkut sisa akan berisiko mempertaruhkan nyawa nelayan dengan bot-bot kecil mereka apabila trafik laluan air di kawasan berkenaan menjadi sibuk. 

7. Kerajaan Negeri ingin menegaskan mereka tidak perlu membuat satu pilihan iaitu antara membangunkan PSR, dan membela nasib nelayan demi keselamatan makanan. Kononnya kedua-duanya boleh dipilih.

Jawapan:

Apa yang berlaku sebenarnya adalah Kerajaan Negeri memilih untuk;

a. Mengutamakan kepentingan pemaju PSR dengan menggadaikan 70 peratus pegangan Pulau A. 

b. Mengganggu ekosistem kawasan subur penangkapan ikan yang kos efektif untuk nelayan pantai beroperasi kerana dekat dengan pantai.

c. Menghalau nelayan bot kecil untuk pergi jauh daripada laut pesisiran pantai.

Nelayan terus terpaksa tanggung kos tinggi untuk beroperasi dan pemaju kesayangan terus suka hati atas tawaran istimewa daripada Kerajaan Negeri sebagai rakan kongsi kesayangan.

Sayang sungguh Kerajaan Negeri kepada Pemaju SRS ya? Inikah yang dimaksudkan dengan ‘tidak berniat untuk meremehkan sumbangan nelayan pesisir pantai? Bagaikan ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah bakal mati kelaparan’.

Semoga jawapan dari yang saya kemukakan ini dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh YAB Ketua Menteri dan cukup untuk semua pihak membuat penilaian mengenai malapetaka yang cuba dinafikan. 

ZIKRULLAH ISMAIL – HARAKAHDAILY 14/6/2021