Waspada perangkap Iblis!

IBLIS cukup licik tipu helahnya. Dia bekerja keras memesongkan umat manusia agar lari daripada mentauhidkan Allah Taala. Ahli ibadah dirosakkan amalannya dengan ditimbulkan rasa suka beribadah namun malas menuntut ilmu. Ahli ilmu dirosakkan dengan rasa ujub (kagum) dengan kebolehannya hingga timbul rasa serba cukup dan serba tahu. 

Orang berkuasa dirosakkan dengan perasaan suka dipuja, disebut gelarannya dan tamak menghimpun harta. Manakala orang yang sesat, dikaburi matanya hingga nampak yang sesat itu benar, yang benar itu sesat. Itulah kerja Iblis tanpa jemu semenjak dihalau dari syurga akibat kesombongannya. Kerja Iblis ini digambarkan dalam al-Quran surah al-‘Araf ayat 17:

Advertisement

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Ibnu Kathir Rahmatullah ‘alaih dalam tafsirannya mengenai ayat ini telah menukilkan kata-kata Ibnu Abbas R.A: 

“Kemudian aku (Iblis) datangi mereka dari hadapan mereka (yakni aku ragukan mereka mengenai Hari Akhirat ), serta dari belakang mereka (yakni aku galakkan mereka supaya suka kepada dunia mereka), dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka (yakni aku timbulkan salah faham terhadap urusan agama mereka dan aku timbulkan rasa syahwat untuk melakukan maksiat).”

Ibnu al-Jauzy dalam kitabnya Talbis Iblis telah menjelaskan bahawa kerja Iblis ialah ‘al-Talbis’ iaitu menzahirkan kebatilan dalam gambaran kebenaran, juga ‘al-Ghurur’ iaitu pembohongan dan mengaburi dengan kejahilan hingga timbul pegangan bahawa yang rosak itu betul dan yang keji itu elok. Puncanya ialah adanya kekeliruan (syubhah) yang membawa kepadanya. Dia akan mempengaruhi manusia menurut kadar kemampuannya dan pengaruhnya itu bertambah dan berkurang menurut kadar kesedaran, kejahilan, kelalaian dan keilmuan manusia itu. (Talbis Iblis, Ibnu al-Jauzy 597H, ms:50).

Jika iblis begitu bersungguh untuk memesongkan kita, kita juga ada senjata mempertahankan diri. Berpandukan pedoman daripada Rasulullah S.A.W dan bimbingan para ulamak terdapat beberapa cara yang sangat mujarab bagi menghadapi fitnah Iblis.

Antaranya ialah; Ikhlaskan niat kerana Allah Taala dalam semua urusan kebaikan, berpegang teguh dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah, memelihara solat berjamaah, melazimi majlis ilmu, berdampingan dengan para alim ulamak dan solehin, berada dalam jamaah Islam, istiqomah membaca al-Quran dan berzikir dan menjauhi majlis yang ada unsur maksiat.

USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD – HARAKAHDAILY 14/6/2021