PSR: Kerajaan DAP ego, PAS sokong timbalan menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan untuk meneruskan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) menunjukkan sikap ego DAP yang mengancam sumber makanan laut dan alam sekitar.

Sehubungan itu, PAS Pulau Pinang menyokong penuh kenyataan daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI) Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berhubung perkara itu.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, PAS negeri konsisten membantah secara berterusan projek PSR yang dilihat gagal menjamin kelestarian alam sekitar, sumber makanan laut (food security) serta punca mata pencarian bagi nelayan pesisir pantai di negeri itu.

Kelmarin, Che Abdullah berkata hasrat kerajaan negeri untuk meneruskan Projek PSR akan memberikan kesan buruk terhadap industri perikanan di negeri itu serta turut menjejaskan alam sekitar.

Katanya, pendirian kerajaan negeri untuk meneruskan projek itu memperlihatkan mereka tidak mengambil berat teguran dan pandangan daripada pakar, pemegang taruh, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis-aktivis alam sekitar.

Menurutnya, walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sendiri mengakui bahawa projek PSR akan memberi kesan kepada alam sekitar, namun dengan angkuh beliau masih lagi berkeras untuk meneruskannya.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi memaklumkan, terbaru kerajaan negeri cuba mengaburi rakyat dengan menukar nama projek tambakan itu yang dikenali sebagai ‘Penang South Reclamation’ kepada ‘Penang South Island’ (PSI).

Ini, katanya seolah-olah kerajaan negeri menjenamakan semula ia sebagai projek pembinaan pulau biasa dan bukannya penambakan laut malah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk rakan sekutu DAP sendiri.

PAS Pulau Pinang juga, katanya berharap agar Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Hajah Norlela Ariffin yang telah menyatakan tentangan ketika perjumpaan bersama Dato’ Che Abdullah agar lebih serius dan berani dalam memberikan tekanan kepada kerajaan negeri.

“Pada masa yang sama kami juga turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk daripada ahli-ahli Parlimen, NGO-NGO, aktivis alam sekitar dan semua pihak yang telah turut memainkan peranan dalam membantah projek PSR ini sejak dari mula ia dicadangkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PAS negeri sekali lagi ingin menegaskan dengan setegas-tegasnya bahawa tidak akan berkompromi dengan hasrat kerajaan DAP Pulau Pinang dalam meneruskan projek PSR dan memohon agar semua pihak terus memainkan peranan bagi menghalangnya sehingga dibatalkan. – HARAKAHDAILY 12/6/2021

- Advertisement -