Dua bentuk PPV di UniSZA

- Advertisement -

PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mula beroperasi pada hari Ahad 13 Jun 2021. Semalam saya meneruskan rutin lawatan saya ke PPV UniSZA. 

- Advertisement -

Terdapat dua bentuk PPV di UniSZA

1. PPV Statik.

PPV Statik UniSZA diadakan di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS) dan Dewan Perdana di Kampus Gong Badak yang mempunyai kapasiti memberikan vaksinasi kepada 3,000 orang pada satu-satu masa. Pada peringkat awal ini kapasiti sasaran adalah 1,000 orang sehari. Walau bagaimanapun pada peringkat permulaan 13 dan 14 Jun ini operasi dimulakan dengan 150 suntikan sehari kerana bekalan vaksin yang masih terhad. Kapasiti akan ditingkatkan apabila bekalan vaksin meningkat.

Bagi menjayakan inisiatif ini, seramai lebih 80 orang pensyarah dan pakar perubatan, farmasi serta 60 pensyarah kejururawatan dan jururawat akan bergerak sebagai sukarelawan perubatan dan dibantu lebih 350 orang kakitangan akan digemblengkan sebagai sukarelawan bukan perubatan. Pelajar-pelajar juga akan dilibatkan sebagai sukarelawan.

PPV IPT UniSZA bakal memberi manfaat yang besar kepada penduduk khasnya di Daerah Kuala Nerus dan amnya Terengganu. Waktu operasi pemberian vaksin akan bermula seawal jam 9:00 pagi sehingga 5:00 petang.

2. PPV bergerak (outreach).

UniSZA turut berhasrat mengadakan program outreach yang menyasarkan kepada penduduk kampung di beberapa kawasan pedalaman di Terengganu. Pasukan ini akan mengadakan pop-up centre dan menjalankan sekurang-kurangnya 2 program seminggu dengan sasaran seramai 300 peserta bagi setiap program. Program ini dijangka akan dijalankan selama 6 bulan dan dijangkakan lebih 15,000 suntikan vaksin dapat diberikan kepada penduduk pedalaman.

Pelaksanaan PPV IPT UniSZA merupakan usahasama UniSZA dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan Kerajaan Negeri Terengganu. Ia juga disokong oleh NGO dan badan-badan korporat seperti TDM Berhad, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dewan Perniagaan Cina Terengganu, Persatuan Khairunnisa dan sebagainya.

YB DATO’ HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 14/6/2021

- Advertisement -