
IPOH: Kadar jangkitan pandemik Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Lekir daerah Manjung mencatat penurunan.
Menteri Besar Dato’ Saarani Mohamad berkata, jangkitan di kawasan terbabit beransur pulih yang melibatkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong.
“Alhamdulillah kesemua 51 penduduk yang disahkan positif sebelum ini sudah pulih. Manakala 183 lagi yang di bawah pengawasan kerana dikategorikan sebagai kontak rapat juga tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan.
“Jika semuanya berjalan baik, kita akan cadangkan kepada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) supaya PKPD di kawasan terbabit ditamatkan lebih awal,” katanya selepas menziarahi lokasi PKPD terbabit hari ini.
Pada kunjungan itu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk dengan mengagihkan bantuan keperluan asas dari rumah ke rumah.
Sebelum ini kawasan terbabit termasuk lokasi dikenakan PKPD sehingga 19 Jun ini berikutan rekod kes positif dengan kebolehjangkitan yang tinggi.
Antara kawasan yang dikenakan PKPD di Perak iaitu Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Mukim Ulu Kinta dan Taman Kerian Tambahan, Parit Buntar, Kerian.
Selain itu Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung melibatkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong.
Turut dikenakan PKPD Taman Berkat, Mukim Matang daerah Larut, Matang, Selama, Mukim Pengkalan Hulu dan Mukim Kerunai, Hulu Perak.
Saarani juga berkata, beliau bersama petugas menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan PKPD terbabit dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Penduduk menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan yang beri. Ada juga ikhlas memberi pandangan mengenai senario darurat dan PKPD yang sedang dilaksanakan sekarang,” ujarnya.
Menteri Besar juga turut melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam (PPA) Amanjaya, Lumut.
Menurutnya operasi di PPV tersebut begitu lancar dan fasiliti yang disediakan nampak selesa khususnya untuk warga emas.
“Jika semuanya berjalan lancar dan bekalan vaksin tiba tidak lama lagi, kita akan buka lebih banyak PPV untuk memudahkan rakyat menerima vaksin.
“Mudah-mudahan usaha keras dan pengorbanan kita semua akan membawa ke jalan kemenangan. Insya-Allah,” ujarnya. – Stratcom











