UniSZA cipta ‘Electrico’ bantu pelajar kuasai Fizik

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rungutan yang sering diterima daripada pelajar untuk menguasai subjek Fizik mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sejenis permainan ilmiah yang dikenali sebagai Electrico.

Pensyarah Fizik Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA, Dr Siti Maisarah Aziz berkata permainan papan itu bertujuan menguji kefahaman pelajar terhadap fungsi komponen elektrik serta pengiraan yang melibatkan persamaan dan formula dalam menyelesaikan masalah dan persoalan fenomena berkaitan elektrik.

- Advertisement -

Beliau berkata Electrico adalah satu inovasi baharu dalam mempelbagaikan kaedah pembelajaran Fizik melalui soalan berkaitan elektrik yang perlu dijawab semasa permainan sedang berjalan.

“Sama seperti permainan Saidina, pemain Electrico juga perlu membeli komponen elektrik seperti diode, kapasitor atau perintang bagi menjawab soalan dengan betul untuk melengkapkan litar. Pemain yang berjaya melengkapi litar paling cepat akan dikira sebagai pemenang.

“Aktiviti pemasangan komponen dengan kemahiran membaca litar menjadikan permainan ini lebih menarik. Sememangnya pemasangan litar merupakan masalah terbesar yang dihadapi pelajar. Dengan adanya permainan ini, ia dapat menarik minat pelajar untuk mendalami topik elektrik serta menjadikan pembelajaran Fizik lebih menarik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maisarah berkata Electrico yang dicipta pada November lepas itu terbukti berjaya menarik minat golongan pendidik kerana telah memenangi beberapa pingat emas dalam pertandingan penyelidikan dan inovasi yang dipertandingkan pada tahun lepas.

Antaranya termasuklah Pertandingan Amalan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (AIPP), Karnival Inovasi UMT 2020, UniSZA Carnival on e-Learning 2020 (UniCeL 2020) dan Pertandingan Inovasi Pusat Asasi Sains Dan Perubatan (UniSZA) 2020.

“Saya berharap Electrico dapat menangkis persepsi kurang tepat pelajar sebelum ini bahawa Fizik sukar dikuasai menyebabkan mereka hanya menggunakan teknik hafalan semata-mata, sedangkan ia bukanlah kaedah yang betul dalam memahami sesuatu konsep elektrik dalam Fizik.

“Ketika ini, saya sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa syarikat percetakan untuk mengkomersialkan Electrico agar lebih ramai pelajar dapat manfaatnya,” kata beliau. – BERNAMA

- Advertisement -