Tempat kerja masih ‘lubuk virus maut COVID-19’

BERIKUT adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 5 Jun hingga pukul 12:00 tengah hari 11 Jun 2021.

Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 639 ribu. Di peringkat global, lebih 175 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 3.7 juta. Lebih 159 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemunculan berterusan kluster baharu terutama kluster tempat kerja sepanjang pelaksanaan fasa satu Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) setakat ini boleh menggugat usaha kerajaan membendung penularan wabak koronavirus maut COVID-19.

Untuk tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 5 Jun hingga 10 Jun 2021 (Rangkuman Mingguan) sahaja, berdasarkan laporan harian KKM, sebanyak 138 kluster baharu dilaporkan dan 97 kluster (70.2 peratus) daripadanya adalah kluster tempat kerja.

Jumlah kluster baharu tertinggi dilaporkan pada 6 Jun 2021 sebanyak 30 kluster dan 18 daripadanya adalah kluster tempat kerja, dengan tujuh (7) dilaporkan di Johor.

Pada 9 Jun, 13 daripada 15 kluster baharu yang dilaporkan adalah kluster tempat kerja dengan lima (5) berlaku di Selangor.

Semalam (10 Jun 2021), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22 lagi kluster baharu dan 18 daripadanya adalah kluster tempat kerja dengan tujuh (7) di Selangor.

Sehingga 10 Jun 2021, Malaysia mencatat sejumlah 2,422 kluster, sebanyak 1,677 daripadanya, ditamatkan dan 745 kluster masih aktif.

Kerajaan melaksanakan SPP fasa satu selama dua minggu berkuatkuasa 1 Jun 2021 sebagai usaha untuk melandaikan semula keluk penularan jangkitan COVID-19.

Sementara itu, sebanyak 5,671 lagi kes positif COVID-19 dilaporkan semalam (10 Jun 2021), menjadikan kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 79,848 kes, sementara kes kumulatif sebanyak 639,562 kes.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, Selangor masih mencatat kes harian baharu tertinggi iaitu 1,510 kes, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 769 kes dan Sarawak 631 kes.

Kes harian baharu tertinggi Malaysia sejak wabak COVID-19 melanda negara ini pada 25 Januari 2020 dilaporkan pada Sabtu 29 Mei iaitu sebanyak 9,020 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar KPK 8 Jun – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia antara lain menyatakan, “Situasi penularan COVID-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius. Bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) bagi menampung kes-kes COVID-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekali pun. Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai data atau situasi semasa ini.”

*ICU (Unit Rawatan Rapi)

Kadar penggunaan katil COVID-19 di ICU meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei 2021 hingga 104 peratus pada 6 Jun 2021 dan kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.

Hospital di seluruh negara juga dilaporkan sedang berhadapan dengan peningkatan kes COVID-19 bergejala serius (kategori 4 dan 5) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit lain (co-morbidity).

Dr Noor Hisham sebelum ini dipetik berkata, Malaysia memerlukan antara tiga hingga empat bulan untuk melandaikan lekuk jangkitan COVID-19. Ini ditambah dengan pengesanan varian baharu COVID-19 iaitu Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI).

Sehingga 9 Jun 2021, KKM melaporkan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 161 kes, terdiri daripada 145 kes VOC dan 16 kes VOI.

Berikut adalah rekod kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 5 Jun hingga 10 Jun 2021:-

5 Jun (7,452 kes), 6 Jun (6,241 kes), 7 Jun ( 5,271 kes), 8 Jun (5,566 kes), 9 Jun (6,239 kes) dan 10 Jun ( 5,671 kes).

Setakat semalam, sebanyak 911 kes dimasukkan di ICU dan 462 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 639,562 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 39 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19, mengatasi Nepal (598,813 kes) dan Emiriah Arab Bersatu (589,813 kes).

Perkembangan lain dalam negara

Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia pada Khamis 10 Jun 2021 melaporkan seramai 73 orang lagi menjadi korban COVID-19. Ini menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 3,684.

Jumlah kes kematian menunjukkan trend penurunan kepada dua angka sepanjang tempoh Rangkuman ini kecuali pada Sabtu 5 Jun (109 kes). Kes kematian tiga angka dilaporkan pada Rabu 2 Jun 2021 (126 kes).

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini :-

5 Jun – 109 kes (105 WN, 4 BWN); 6 Jun – 87 kes (84 WN, 3 BWN); 7 Jun – 82 kes (80 WN, 2 BWN); 8 Jun – 76 kes (75 WN, 1 BWN); 9 Jun – 75 kes (74 WN, 1 BWN); 10 Jun – 73 kes (70 WN 3 BWN).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

Selangor masih mencatat kes kematian tertinggi iaitu 5 Jun (33 kes), 6 Jun ( 34 kes), 7 Jun ( 23 kes), 8 Jun (18 kes), 9 Jun ( 23 kes) dan 10 Jun (29 kes).

Penularan tempatan masih membelenggu kes harian baharu COVID-19 di Malaysia sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini.

Daripada 5,671 kes baharu yang dilaporkan semalam (10 Jun 2021), sebanyak 5,663 kes adalah penularan tempatan, melibatkan 4,880 warganegara (86.2 peratus) dan 783 bukan warganegara (13.8 peratus). Kes import sebanyak lapan (8) kes iaitu 4 warganegara dan 4 bukan warganegara.

Berikut adalah data yang menunjukkan keseluruhan situasi kes baharu, berdasarkan makluman KKM sepanjang Rangkuman Mingguan ini:-

5 Jun – Kes baharu : 7,452 kes;Kes tempatan : 7,444 kes [6,308 warganegara (84.7%); 1,136 bukan warganegara (15.3%)]; Kes import : 8 kes (4 warganegara, 4 bukan warganegara);

6 Jun – Kes baharu : 6,241 kes; Kes tempatan : 6,227 kes [5,404 warganegara (86.8%); 823 bukan warganegara (13.2%)]; Kes import : 14 kes (5 warganegara, 9 bukan warganegara);

7 Jun – Kes baharu : 5,271 kes; Kes tempatan : 5,257 kes [4,763 warganegara (90.6%); 494 bukan warganegara (9.4%)]; Kes import : 14 kes (4 warganegara, 10 bukan warganegara);

8 Jun – Kes baharu : 5,566 kes;Kes tempatan : 5,562 kes [4,895 warganegara (88.0%); 667 bukan warganegara (12.0%)]; Kes import : 4 kes (4 bukan warganegara);

9 Jun – Kes baharu : 6,239 kes;Kes tempatan : 6,228 kes [5,377 warganegara (86.3%); 851 bukan warganegara (13.7%)]; Kes import : 11 kes (7 warganegara; 4 bukan warganegara);

10 Jun – Kes baharu : 5,671 kes; Kes tempatan : 5,663 kes [4,880 warganegara (86.2%); 783 bukan warganegara (13.8%)]; Kes import : 8 kes (4 warganegara; 4 bukan warganegara).

Kes pulih sepanjang Rangkuman Mingguan ini:-

5 Jun (6,105 kes), 6 Jun (5,133 kes), 7 Jun (7,548 kes), 8 Jun (6,962 kes), 9 Jun (7,386 kes) dan 10 Jun (7,325 kes).

Tempat kerja “lubuk COVID-19”

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, Malaysia masih dibelenggu kemunculan kluster baharu terutamanya di tempat kerja.

Antara kluster tempat kerja yang dilaporkan:-

5 Jun – Kluster Jalan Kampung Yoh, Sebauh, Bintulu, Sarawak; 58 kes positif daripada 83 individu yang disaring, melibatkan pekerja sebuah syarikat binaan di Jalan Kampong Yoh, Jalan Bintulu-Miri, Sebauh.

6 Jun – Kluster Jalan Kebun Sayur, Muar, Johor; 55 kes positif COVID-19 daripada 145 individu yang disaring di sebuah kilang di Jalan Kebun Sayur, Bukit Bakri, Muar.

7 Jun – Kluster Industri Kampung Gebuk, Seremban, Negeri Sembilan; 57 kes positif COVID-19 daripada 112 individu yang disaring. Hasil saringan melibatkan pekerja sebuah ladang penternakan ayam di Kampung Gebuk, Pajam, Mantin, Seremban.

8 Jun – Kluster Ocean Blue, Kota Kinabalu, Sabah; 99 kes positif COVID-19 daripada185 individu yang disarung. Hasil saringan ke atas sebuah institusi awam di Sepanggar, Kota Kinabalu.

9 Jun – Kluster Industri Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu; 103 kes positif COVID-19 daripada 1,500 individu yang disaring di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Telok Kalong.

10 Jun – Kluster Tapak Bina Jalan Kolam Air Lama, Kepong, WPKL; 131 kes positif melibatkan pekerja di sebuah tapak binaan.

Berikut adalah butiran kluster baharu dan kluster yang berkaitan:-

5 Jun – 24 kluster baharu ( 17 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 1 kluster kumpulan berisiko tinggi dan 1 kluster pendidikan);

6 Jun – 30 kluster baharu (18 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 2 kluster pendidikan, 1 kluster kumpulan berisiko tinggi, 1 kluster keagamaan dan 1 kluster pusat tahanan);

7 Jun – 23 kluster baharu (16 kluster tempat kerja, 6 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

8 Jun – 24 kluster (15 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 3 kluster kumpulan berisiko tinggi dan 1 kluster keagamaan);

9 Jun – 15 kluster (13 kluster tempat kerja, 1 kluster komuniti dan 1 kluster pendidikan);

10 Jun – 22 kluster (18 kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan 1 kluster keagamaan).

KKM turut memaklumkan, bermula 13 Mei 2021 sehingga 10 Jun 2021, terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (2 kluster). Daripada 13,023 individu yang disaring dalam kluster berkenaan, seramai 3,511 individu (27.0 peratus) dikesan positif. Daripada jumlah 3,511 kes tersebut juga, 20 kematian dilaporkan dan sehingga kini 11 kes masih di ICU.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada 10 Jun 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 10 Jun 2021 untuk seluruh negara kekal 0.91. Untuk rekod, Ro di bawah 1.0 ini secara konsistennya dicatat sejak 6 Jun 2021.

Negeri mencatat Ro tertinggi ialah WP Labuan 1.15, Negeri Sembilan 1.13 dan Sarawak 1.0.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Perincian kes COVID-19 di Malaysia

Berdasarkan perincian KKM untuk 5,671 kes harian baharu COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 10 Jun 2021, Selangor terus menyumbang kes terbanyak empat angka iaitu 1,510 kes dan 1,069 daripadanya adalah kes kontak rapat.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu COVID-19 di Selangor adalah seperti berikut:-

5 Jun (2,509 kes), 6 Jun ( 2,178 kes), 7 Jun ( 1,374 kes), 8 Jun (1,524 kes), 9 Jun ( 2,291 kes) dan 10 Jun ( 1,510 kes).

Sementara itu, negeri yang mencatat kes harian baharu tiga angka – WPKuala Lumpur 769 kes, Sarawak 631 kes, Negeri Sembilan 593 kes, Johor 524 kes, Kedah 309 kes, Kelantan 262 kes, Sabah 233 kes, Melaka 184 kes, Pulau Pinang 166 kes, Perak 143 kes, Pahang 112 kes, Terengganu 108 kes dan WP Labuan106 kes.

Kes harian baharu dua angka – WP Putrajaya 18 kes.

Kes harian baharu satu angka – Perlis 3 kes.

Statistik global COVID-19

Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 175,618,683 kes (rangkuman mingguan lalu 172,972,612 kes) dengan 3,788,704 kes kematian (minggu lalu 3,718,988 kes kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 159,154,090 kes (minggu lalu 155,705,630 kes).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, United Kingdom, Itali, Argentina dan Sepanyol.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 34,275,783 kes (614,007 kematian);
India 29,273,338 kes (363,097 kematian);
Brazil 17,215,159 kes (482,135 kematian);
Perancis 5,729,967 kes (110,270 kematian);
Turki 5,313,098 kes (48,524 kematian);
Rusia 5,167,949 kes (125,278 kematian);
United Kingdom 4,542,986 kes (127,867 kematian);
Itali 4,239,868 kes (126,855 kematian);
Argentina 4,066,156 kes (83,941 kematian);
Sepanyol 3,729,458 kes (80,465 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 98 dengan 91,359 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 94 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 18 – 1,885,942 kes (52,373 kematian);
Filipina di tangga 24 – 1,293,687 kes (22,312 kematian);
Thailand di tangga 79 – 189,828 kes (1,402 kematian)
Myanmar di tangga 86 – 144,876 kes (3,237 kematian);
Singapura di tangga 107 – 62,236 kes (34 kes kematian);
Kampuchea di tangga 116 – 36,666 kes (300 kes kematian);
Vietnam di tangga 158 – 9,835 kes (55 kes kematian);
Laos di tangga 189 – 1,975 kes (3 kes kematian);
Brunei di tangga 202 – 248 kes (3 kes kematian).

Ruangan sisi

Latar belakang COVID-19

– Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

– Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

– Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

– WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

– Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

– Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

– Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

– WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

– Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

– Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

– Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

– Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

– Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

– Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

– Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501Y.V2”. pada awal Oktober 2020.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat VOC sebagai kebimbangan global iaitu United Kingdom (B.117), Afrika Selatan (B.1.351), Brazil (P.1) dan India (B.1.617).

WHO berikutnya mengumumkan varian COVID-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik itu.

Variant of Concern (VOC) seperti berikut:- *varian Beta (B.1.351); *varian Alpha (B.1.1.7); dan *varian Delta (B.1.617.2).

Variant of Interest (VOI) seperti berikut:- *varian Theta (P.3); *varian Eta (B.1.525); dan *varian Kappa (B.1.617.1) – BERNAMA