Perbetul tanggapan isu ‘masjid ditutup’ – Mufti

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU: Mufti Kelantan meminta masyarakat memperbetul tanggapan isu ‘masjid ditutup’ bagi aktiviti keagamaan ketika penularan pandemik Covid-19 sekarang di mana ia hanya sekadar ditangguh sehingga wabak reda.

Dato’ Mohammad Shukri Mohamad berkata, masjid masih dibuka dan empat petugas tetap berjemaah solat fardu pada setiap waktu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Langkah itu supaya dapat melepaskan fardu kifayah yang termaktub ke atas seluruh muslimin kerana tujuan ibadah itu murni tetapi jangan sampai memudaratkan,” katanya pada Bicara Mufti anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) semalam.

- Advertisement -

Bicara itu disiar secara langsung Facebook UPKN dengan menyorot tajuk ‘Pelaksanaan Ibadat Waktu Darurat’ mencapai kumulatif 8,100 tontonan.

Malah program itu juga berjaya memikat 3,800 penonton semasa bersiaran dengan mengetengahkan juga segmen soal-jawab. Penolong Pengarah Seranta Ustaz Abdul Malek Abdul Karim bertindak sebagai moderator.

Sementara itu Pengarah UPKN Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berkata, program santai tersebut mendedahkan beberapa ilmu dan kaedah baharu yang dapat mendekatkan masyarakat dengan ulama.

Katanya ia dapat membudayakan ilmu daripada sumber yang berautoriti mengenai agama.

“Saya menyokong kenyataan mufti yang menyarankan orang awam mempercayai dan yakin dengan setiap arahan kerajaan.

“Sekiranya rakyat sudah tidak thiqah (percaya) kepada kenyataan rasmi individu yang berautoriti, maka perbincangan sudah tidak diperlukan lagi.

“Contohnya hal tentang pencegahan dan perawatan kesihatan mesti diambil daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau agensinya,” ujarnya.

Begitu juga kata beliau perkara berkaitan hukum mesti merujuk kepada pihak yang berautoriti termasuk Pejabat Mufti. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -