FCB terbukti berjaya usir penceroboh dari Vietnam

- Advertisement -

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menerusi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan Fast Combat Boat (FCB) baharu TLDM telah berjaya menghalang dan mengusir bot nelayan asing dari Vietnam yang menceroboh Zon Maritim Malaysia pada lewat petang kelmarin.

Pencerobohan bot-bot nelayan asing tersebut di sekitar lebih kurang 60 batu nautika dari Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang berjaya dikesan melalui radar milik kapal TLDM iaitu KD LEKIU dan Markas Wilayah Laut 1 segera mengaturgerakkan Dua buah FCB membawa Quick Reaction Team (QRT) bagi mengusir serta memintas beberapa buah bot nelayan asing di kawasan tersebut.

- Advertisement -

Tindakan pantas tersebut berjaya memintas dan mengusir keluar kesemua bot nelayan asing dari perairan negara serta menahan sebuah bot yang membawa 21 orang awak-awak warga Vietnam berumur lingkungan 20 hingga 32 tahun. Mereka yang ditahan didapati menangkap ikan secara haram serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

FCB yang dibina oleh syarikat tempatan di Lumut, Perak ini dilengkapi dengan sistem dorongan water jet yang mampu mencapai kelajuan sehingga 50 knot dan mempunyai sistem pengesanan canggih serta keupayaan pengawasan pada waktu malam seperti kamera Forward Looking Infrared (FLIR) dengan keupayaan lensa sehingga 30x optical zoom dan Automatic RADAR Plotting Aid (ARPA). 

Perolehan FCB ini memainkan peranan penting dalam TLDM bagi pelaksanaan operasi pemintasan, rondaan pesisir pantai dan sebagai aset sokongan terhadap keperluan operasi maritim yang lain. Keupayaan FCB baharu ini turut dibuktikan menerusi kejayaannya menggagalkan cubaan menyeludup barangan terlarang di perairan Teluk Ramunia, penahanan bot nelayan asing di perairan Pulau Tioman, pada 1 dan 4 Jun lalu serta kejadian kelmarin.

ATM tidak akan berkompromi dalam sebarang aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara. ATM juga akan sentiasa memperkasakan kesiagaan aset demi menjaga kedaulatan negara serta akan meneruskan kerjasama yang padu bersama Agensi-agensi Penguatkuasaan dan Keselamatan yang lain.

Sumber daripada: Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -