Ketokohan Agong tidak dapat disangkal lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menjadi saksi terhadap keperibadian Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Azhar Yahya berkata, baginda seorang sultan yang sangat berjiwa rakyat.

Katanya, baginda serta kaum kerabat sering menyantuni rakyat jelata dan mendalami susah senang bersama rakyat.

- Advertisement -

“Kebijaksanaan dan ketokohan tuanku tidak dapat disangkal lagi terutama dalam krisis politik negara selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7.

“Ternyata baginda berjaya mengurus begitu baik dan aman. Kedaulatan Institusi Diraja dan kedudukan YDPA sebagai Ketua Negara mesti didukung seluruh rakyat Malaysia.

“Dan dipertahankan daripada segala cubaan untuk menggugatnya,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Semalam Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad berkata, Yang di-Pertuan Agong terbukti melaksanakan pentadbiran negara dengan adil dan bijaksana sepanjang mengurus wabak Covid-19 serta polemik politik negara.

Menurutnya kebijaksanaan baginda berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 12 Januari lalu merupakan keputusan tepat selaras dengan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -