Hina Raja Melayu agenda terancang di media sosial

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Media sosial sekarang dijadikan platform secara aktif dan terancang bagi mempersenda, mengejek, memprovokasi dan menghina agama, budaya dan Raja-Raja Melayu.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya meneliti dengan serius peningkatan beberapa isu berkenaan di media sosial.

Katanya, keadaan itu boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni, curiga dan terganggu di media sosial atau pada realiti.

- Advertisement -

Bahkan kata beliau akan menimbulkan lagi suasana saling serang menyerang di antara satu sama lain.

“Sedangkan isu agama, kaum dan Raja-Raja adalah isu dikategorikan sebagai isu sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak boleh diprovokasikan pada mana-mana keadaan sekali pun. Semua pihak hendaklah menghormatinya,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu UMMAH berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato’ Saifuddin Abdullah lebih tegas dan serius mengarah perkara itu dihentikan memandangkan ia adalah imej kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Arahan kepada SKMM perlu jelas dan tegas. Perkara yang sedemikian perlu dihentikan dengan segera di media sosial.

“Ini adalah hak asasi yang perlu diuruskan sebaiknya dalam kepelbagaian kaum dan agama, dengan sikap saling menghormati berteraskan semangat ‘Malaysia’ Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang perlu difahami dengan jelas,” ujarnya.

Menurutnya juga kerjasama bersama kementerian berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Agama perlu diselaras segera bagi menyekat isu terbabit berleluasa.

Sebagai contoh kata beliau FB pro LGBTQ mempersendakan nama Allah di baju dengan ‘ALLAH is Gay’ berlatar belakang Kaabah.

Selain itu menghina Yang di-Pertuan Agong dengan kata-kata kesat seperti FB Iswardy Morni.

“Kami percaya Dato’ Saifuddin menpuyai kuasa penuh ke atas SKMM yang mengawal selia ke atas platform media sosial.

“Terdapat berapa aduan FB yang dibuat tetapi telah dikembalikan oleh FB Malaysia sebagai tidak melanggar sensitiviti atau standard komuniti mengikut takrifan mereka.

“FB Malaysia jelas tidak memahami aspirasi keharmonian semangat rakyat Malaysia berdasarkan Perlembagan Persekutuan. Tindakan mereka lebih ‘bias’ kepada takrifan barat.

“Ia akan menyebabkan hantaran yang menghina, mempersenda dan mengejek agama, budaya, Raja-Raja akan lebih aktif berleluasa,” ujarnya.

Menurutnya juga menteri berkenaan perlu merangka polisi media sosial yang lebih efektif sesuai dengan komuniti masyarakat Malaysia yang lebih harmoni dan bertamadun.

Kata beliau perkara itu boleh dicapai dengan mengadakan libat urus semua pihak yang berkepentingan termasuk NGO dan komuniti masyarakat.

“Lagi pun kerajaan PN adalah kerajaan alternatif kepada rakyat dan bukan kerajaan yang gagal,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -