Kelestarian alam sekitar bermula dari kawalan sampah

Usaha kecil dan mudah itu sangat membantu usaha menjaga alam sekitar

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Menjaga alam sekitar adalah menjadi tanggungjawab bersama sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Qasas ayat 77 supaya tidak melakukan kerosakan di muka bumi ini. 

Hari Alam Sekitar merupakan hari untuk semua orang agar mengambil bahagian dalam tindakan sejagat bagi menggalakkan perlindungan terhadap iklim, menggunakan sumber dengan lestari serta mengamalkan gaya hidup yang mesra alam.

- Advertisement -

“Merosakkan persekitaran dan alam sekitar amat mudah, namun untuk memulihkannya semula memakan masa yang panjang, malah menelan belanja yang tinggi.

“Memastikan sampah tidak dibuang merata-rata adalah antara usaha kecil dan cukup mudah yang boleh kita lakukan untuk kita memelihara alam sekitar,” kata ADUN Beserah, Andansura Rabu sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, semalam.

Beliau menyeru agar masyarakat menjaga kebersihan persekitaran di mana juga berada sama ada di kejiranan, tempat kerja, tempat awam, pusat rekreasi, longkang, parit, sungai dan laut.

“Kesedaran bermula dari rumah, dan bermula daripada diri kita sendiri, oleh itu didiklah ahli keluarga kita untuk menjaga kebersihan dan menjaga persekitaran. 

“Sekiranya setiap individu dapat mendisiplinkan diri tidak membuang sampah di merata-rata tempat adalah salah satu usaha kecil dan cukup mudah yang boleh dilakukan untuk kita sama-sama memelihara alam sekitar ini. 

“Malah jika orang lain terdorong melakukan yang sama atas didikan, galakan dan dorongan kita, juga akan dibalas dengan ganjaran pahala yang berpanjangan,” tambahnya lagi. 

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang menyatakan bahawa memelihara kelestarian alam sekitar bukan sesuatu yang mustahil, ianya dapat dilaksanakan sekiranya ada kerjasama dan kesedaran di kalangan masyarakat. 

“Lebih dari itu, setiap kebaikan yang kita lakukan walau sekecil-kecil perkara akan mendapat pahala di sisi Allah dan sama-sama kita ingat-mengingati antara satu sama lain,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/6/2021

- Advertisement -