Andansura angkat keperluan laluan khas bomba Gebeng

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Keadaan persekitaran balai bomba sangat penting untuk membolehkan anggota dan jenteranya mengambil tindakan segera bagi menangani sebarang kes kecemasan, termasuk tiba di lokasi dengan lebih pantas.

Timbalan Penguasa Bomba Gebeng Kuantan, Zahidah Ali melahirkan rasa kebimbangannya terhadap kemungkinan berlakunya kemalangan atau ketidaklancaran operasi disebabkan keadaan trafik di cawangannya.

“Satu minit sangat berharga buat jentera kami untuk bergerak apabila berlaku kecemasan, namun ianya berhalangan dengan laluan yang sibuk sekitar kawasan Perindustrian Gebeng ini. 

- Advertisement -

“Laluan yang sibuk dengan jentera berat boleh mengundang kemalangan, terutama di waktu puncak panggilan diterima tidak dapat keluar dengan cepat seperti mana yang dikehendaki,” katanya lagi. 

Zahidah menyuarakan perkara itu ketika menerima kunjungan ADUN Beserah, Andansura Rabu yang menyampaikan biskut raya kepada anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, di sini minggu lalu. 

Menurut Andansura, kemungkinan untuk berlakunya kemalangan memang tidak dinafikan apabila laluan keluar bertembung dengan keadaan trafik yang sibuk dan merbahaya dari jentera berat serta kontena.

Dalam pertemuan singkat tersebut, Andansura Rabu telah mengemukakan beberapa cadangan, antaranya satu laluan khas keluar dan masuk perlu diadakan bagi keperluan jentera bomba.

“Memandangkan kawasan tersebut ada ruang cuma perlu diangkat dari segi teknikalnya dari pihak Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya untuk melihat kesesuaian laluan khas tersebut. 

“Cadangan yang lain adalah menjadikan kawasan tersebut satu kawasan yang dihadkan kelajuan kenderaan ataupun adakan lampu isyarat. Tapi itu semua perlukan kajian teknikal, saya akan cuba bawa perkara ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Negeri Pahang terlebih dahulu. 

“Kita akan usahakan mengikut kesesuaian untuk membantu pihak bomba,” terang Andansura kepada anggota keselamatan yang turut hadir semasa program agihan biskut raya di balai tersebut. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -