Tidak hadir cucuk vaksin tidak bertanggungjawab

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) seluruh Kedah disaran memain peranan memastikan penduduk mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, seramai 2,070 ahli JPKK di Kedah boleh membantu kerajaan negeri bebas daripada wabak Covid-19 lebih awal lagi.

“Jadilah frontliner untuk membantu kerajaan memantau dan menasihati orang ramai agar mematuhi SOP.

“Selain itu mereka juga perlu menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat dengan mematuhi SOP,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman semalam.

- Advertisement -

Menurutnya juga wujud stigma dalam kalangan penduduk kampung khususnya orang Melayu yang menolak vaksinasi Covid-19 atas alasan tidak munasabah dan rasional.

Kebanyakan mereka ujar beliau terpengaruh dengan gerakan menolak imuninasi kononnya kesannya akan membawa maut.

“Di Malaysia belum ada lagi kes mati disebabkan cucuk vaksin tetapi tak cucuk vaksin, ada yang mati cepat.

“Jangan terpengaruh dengan dakwaan yang ditular di laman sosial atau Whatshaps. Semua itu tidak boleh dijadikan sandaran. Kerajaan bertanggungjawab terhadap program vaksinasi,” ujarnya.

Selain itu katanya terdapat juga yang tidak hadir untuk menerima vaksinasi walau pun peringkat awalnya mereka mendaftar.

Kata beliau tindakan individu terbabit menyebabkan kerugian memandangkan satu dos sahaja berharga US13 tidak temasuk kos petugas, sukarelawan, tempat dan lain-lain.

“Satu set vaksin ada enam dos. Kalau tiga tidak hadir. Tiga lagi dibazirkan. Perbuatan seperti ini bagi saya tidak bertanggungjawablah.

“Depa percaya tok bomoh lagi sehingga ada yang kata suntik dan swab akan menyebabkan batal puasa, sedangkan Majlis Fatwa keluar hukum ia dibolehkan,” sambung beliau.

Justeru itu beliau berharap rakyat memahami bahawa mentaati pemerintah adalah antara perkara yang ditetapkan dalam agama Islam selagi ia tidak melanggar hukum syarak.

“Mentaati Allah, Rasul dan seterusnya ulul amri (pemerintah) diajar dalam Islam. Wajib patuh kepada kerajaan selagi tidak melanggar hukum syarak.

“Tak patuh, positif Covid, sebar kepada orang lain, buat dosa juga. Dosa sebar dengan tak taat arahan. Jangan penting diri sendiri. Perlu patuh kepada keputusan untuk maslahah orang ramai,” katanya.

Menurutnya juga Kedah memberi perhatian serius berkenaan isu tersebut dan program vaksinasi perlu dilipatgandakan lagi.

“Saya menyarankan agar laluan dan kaunter untuk vaksinasi Covid-19 perlu ditambah agar lebih ramai dapat menerimanya dalam satu-satu masa,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -