Munajat AKIFI tetap bergelombang biarpun PKP

- Advertisement -

PAYA BESAR: Gelombang AKIFI yang merupakan majlis himpunan ibadah oleh Muslimat PAS Kawasan Paya Besar tetap tidak terhalang biarpun pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini apabila ianya diadakan secara atas talian.

Seramai 94 peserta memulakan acara dengan solat Maghrib, solat hajat dan bacaan Yaasiin seterusnya solat Isyak di rumah masing-masing sebelum menyertai acara lanjutan menerusi aplikasi Google Meeting mengikuti pengisian.

- Advertisement -

Munajat AKIFI ini diketuai oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Faizah Muhammad dan taujihat disampaikan Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Turut serta ialah Pengerusi Kelab Assabiqat Pahang, Hasnah Arshad dan Ketua dan Timbalan Ketua serta Naib Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussin dan Nursuryati Razali serta Norsiah Shuib dan Ahli Jawatankuasa lainnya.

Ustazah Salamiah berkongsi ciri-ciri pejuang Islam iaitu kasih kepada agama Allah, sensitif terhadap segala perintah Allah dan sunnah Nabi sebagai tanda kasih kepada Allah dan agama dengan cara melakukan semua perintah sama ada wajib, sunat, umum mahupun khusus.

Ciri perjuangan Islam juga bentangnya, ialah sikap mempertahankan agama Allah dengan cara mempersiapkan kekuatan dalam organisasi, individu dan bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Kerana menurutnya, pada bila-bila masa kerana musuh sentiasa ada sama ada musuh yang nampak di mata atau tidak seperti nafsu dan syaitan.

“Ketiganya ialah cinta kepada syahid, di mana perjuangan bukan mudah melainkan faham dan mempunyai kesedaran dalam diri sendiri serta menghiasi diri dengan sifat dan akhlak seorang pejuang dan bercita-cita untuk mati syahid,” ujarnya.

Ustazah Salamiah turut mengingatkan semua Muslimat yang hadir agar melazimi sifat sabar, jaga ukhuwah, persiapkan ilmu, dan persiapkan rohani. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -